Permintaan cendol Abe Yie meningkat enam kali ganda ketika Ramadan

Cendol yang dijual pada harga RM10 untul tujuh bungkus.
Cendol yang dijual pada harga RM10 untul tujuh bungkus.
A
A
A

KUALA KRAI - Bekas peniaga ayam goreng memperoleh keuntungan berganda sepanjang Ramadan sejak tiga tahun lalu dengan menjual cendol yang diusahakan di rumahnya di RPT Sungai Sok.

Asri Daud, 52, yang dikenali sebagai Abe Yie Cendol Krai dibantu isterinya, Khuzaimah Adnan, 48, serta 26 pekerja untuk memproses cendol yang menjadi antara pencuci mulut paling digemari ketika berbuka puasa di Kelantan.

Menurut Abe Yie, hanya tiga bahan diperlukan untuk membuat cendol iaitu air daun pandan, tepung beras dan air kapur namun memerlukan sukatan yang benar-benar sesuai bagi memastikan ia masak lebih elok dan tidak lembik.

Abe Yie menunjukkan daun pandan yang digunakan untuk membuat cendol
Abe Yie menunjukkan daun pandan yang digunakan untuk membuat cendol

"Setiap hari kami memproses kira-kira 2,000 kilogram (kg) cendol menggunakan empat kawah besar bagi memenuhi permintaan pelanggan di beberapa daerah termasuk Kota Bharu, Jeli, Rantau Panjang dan Machang," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Abe Yie juga memaklumkan permintaan meningkat sehingga enam kali ganda berbanding hari biasa 200 kg sahaja.

Datuk kepada enam cucu itu memberitahu, mereka mengambil masa lebih lapan jam untuk memproses makanan berkenaan termasuk merendam selama kira-kira tiga jam selepas masak bagi mengelakkannya mudah hancur dan tidak kenyal.

"Kami menggunakan antara 200 hingga 300 kg tepung beras sehari selain 5 kg air daun pandan untuk setiap kawah dan tidak menggunakan sebarang pewarna lain," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebanyak 500 bungkus cendol yang siap setiap hari akan dihantar kepada peniaga setiap malam bagi memastikan mereka menerima produk segar.

Abe Yie menunjukkan cendol yang siap dan perlu direndam selama tiga jam.
Abe Yie menunjukkan cendol yang siap dan perlu direndam selama tiga jam.

Berkongsi kaedah pembuatannya, Abe Yie memberitahu, mereka memasak tiga bahan utama berkenaan selama 45 minit tetapi perlu sentiasa dikacau supaya adunannya tidak rosak.

"Kemudian bahan itu akan dimasukkan ke dalam bekas berlubang yang dibuat khas untuk membentuk cendol.

"Ramai pelanggan memaklumkan, cendol saya tidak basi walaupun tiga hari berada pada suhu bilik dan masih elok dalam tempoh seminggu jika disimpan dalam kotak polistirena yang disejukkan," katanya,

Bapa kepada enam anak itu juga bersyukur kerana rakannya yang dikenali sebagai Zul berkongsi ilmu membuat cendol ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 lebih tiga tahun lalu.

Jelasnya lagi, ketika itu dia berniaga ayam goreng tetapi perlu mencari alternatif lain untuk meneruskan kehidupan.

"Alhamdulillah, selepas bermula sendirian di rumah dan dibantu isteri, usaha itu berbaloi dan kini saya mampu menjana pendapatan lebih baik," katanya.

Abe Yie juga mempunyai impian untuk meluaskan jualan cendolnya ke Pahang dan Terengganu selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Insya-ALLAH, sehingga kini saya mampu menjual cendol pada harga borong iaitu RM10 untuk tujuh bungkus walaupun harga tepung beras meningkat beberapa minggu sebelum Ramadan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28