Terkejut kedai hanya tinggal meja

Keadaan di kedai makan milik Zuhaidi yang hanya tinggal meja selepas kesemua kerusi dicuri dalam kejadian Isnin lalu.
Keadaan di kedai makan milik Zuhaidi yang hanya tinggal meja selepas kesemua kerusi dicuri dalam kejadian Isnin lalu.
A
A
A

SETIU - Beberapa kedai makan di daerah ini dilaporkan kehilangan kerusi plastik akibat dicuri pihak tidak bertanggungjawab dalam kejadian awal pagi, Isnin lepas.

Pemilik kedai makan di Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, Marzuki Ibrahim, 45, berkata, dia kehilangan 30 biji kerusi plastik yang bernilai RM40 setiap satu.

Menurutnya, dia menyedari kerusi tersebut hilang kira-kira jam 7 pagi sebaik pulang dari solat Subuh.

"Awalnya saya sangka kerusi tersebut dipinjam kenalan. Tapi apabila ingin memulakan operasi kedai pada jam 10 pagi barulah saya sedar kerusi tersebut kena curi dan ini kejadian pertama berlaku di kedai saya,” katanya.

Marzuki berkata, dia mengesyaki kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi kerana pekerjanya siap mengemas kedai pada jam 2 pagi.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang juga pemilik kedai makan di Chalok kehilangan keseluruhan 60 biji kerusi plastik pada malam yang sama.

Zuhaidi Awang, 40, berkata, dia menyedari kehilangan itu pada jam 11.30 pagi ketika hendak membuka kedainya selepas tidak beroperasi pada Ahad sebelum itu.

Katanya, dia terkejut apabila hanya tinggal meja di kedai makannya manakala kesemua kerusi yang diletakkan atas meja hilang.

Artikel Berkaitan:

“Saya baru beberapa bulan beli kerusi itu dengan harga hampir RM2,000 bagi menggantikan kerusi kayu yang digunakan sebelum ini,” katanya.

Zuhaidi berkata, dia dan isterinya telah membuat laporan di Balai Polis Kampung Rahmat pada hari sama untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris ketika dihubungi memaklumkan setakat ini hanya menerima satu laporan daripada pemilik kedai di Chalok.