Kedah laksana solat minta hujan

Kerajaan negeri merancang untuk mengadakan solat minta hujan berikutan cuaca panas melampau yang berlarutan di Kedah. Gambar fail Bernama (Gambar kecil: Mohamad Yusoff)
Kerajaan negeri merancang untuk mengadakan solat minta hujan berikutan cuaca panas melampau yang berlarutan di Kedah. Gambar fail Bernama (Gambar kecil: Mohamad Yusoff)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri merancang untuk mengadakan solat sunat istisqa berikutan cuaca panas melampau yang berlarutan di Kedah.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff@ Munir Zakaria berkata, ada beberapa kawasan dikhuatiri terjejas berikutan tiada hujan dan cuaca panas terutamanya di Pulau Langkawi.

Menurut beliau, paras air di Empangan Bukit Malut yang menampung keperluan penduduk tempatan kini dilaporkan agak kritikal.

"Kita harap dan hari ini pun dibuat program sunat istisqa dengan meminta tolong kepada ALLAH SWT supaya hujan turun (di Langkawi). Begitu juga di tempat-tempat lain.

"Insya-ALLAH, tadi diputuskan dalam mesyuarat Exco (bahawa) kita akan buat program (solat sunat istisqa) secara agak besar-besaran di banyak tempat terutamanya yang tidak menerima hujan," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, solat sunat terbabit adalah salah satu usaha, selain Syarikat Air Darul Aman (Sada) menghantar lori tangki,pemasangan pam dan sebagainya.

"Kita harap kesemua (usaha) sedikit sebanyak membantu dan pada masa yang sama kita juga sangat mengharapkan kerjasama daripada seluruh masyarakat supaya lebih berhemah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan, kerja pembaikan kebocoran pada paip dasar laut di Langkawi akan dilakukan semasa ke semasa untuk mengurangkan masalah gangguan bekalan air di pulau itu.

"Kita tidak boleh buat sepanjang hari ataupun setiap minggu (kerana) di sana dia kena tunggu musim tidak ada ombak kuat. Dalam sebulan, dua kali sahaja boleh turun untuk buat kerja pembaikan. Jadi pembaikan itu menyebabkan makan masa yang agak lama,"katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, paras air di empangan di Kedah setakat ini masih stabil dan terkawal walaupun berlaku penyusutan di Sungai Muda hingga menjejaskan operasi di Bukit Selambau dan Pinang Tunggal.

Katanya lagi, paras air di kawasan terlibat makin stabil selepas kerajaan negeri meminta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) membuat pelepasan air.

"Setakat Rabu, status semasa Empangan Pedu adalah 71.46 peratus dan Empangan Muda sebanyak 45.2 peratus.Berdasarkan status ini, tiada masalah pembekalan air daripada Pedu untuk kegunaan Loji Rawatan Air (LRA) sehingga hujung tahun ini,"katanya.

Mohamad Yusoff turut memaklumkan, kerajaan negeri belum mempertimbangkan untuk melakukan pembenihan awan di Kedah dalam masa yang terdekat.

Beliau berkata, operasi pembenihan awam memerlukan kos yang amat tinggi, selain ia belum tentu membuahkan hasil.

"Kos pembinaan awal ini ia tinggi, banyak kan dan tak semestinya berjaya. Kadang-kadang datang angin, ia bawa benih-benih itu hilang.

"Kita cari di kawasan tadahan hujan tapi ia turun di tempat lain. Setakat ini, tidak sampai ke peringkat itulah sebab di empangan kita masih mencukupi bekalan air itu," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28