YHS, AKPK bantu peminjam Hijrah Selangor bayar pinjaman tertunggak

Amirudin (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara YHS dan AKPK yang berlangsung di SSAAS pada Rabu.
Amirudin (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara YHS dan AKPK yang berlangsung di SSAAS pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Hijrah Selangor (YHS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu peminjam Hijrah Selangor menyelaras semula bayaran balik pembiayaan tertunggak.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejak 2015 sehingga kini, YHS telah meluluskan sebanyak 88,653 pembiayaan kepada 59,508 peminjam yang berjumlah RM797 juta.

Menurutnya, dianggarkan 25 peratus peminjam berdepan masalah pembayaran dan tunggakan termasuk 10 peratus daripadanya terdiri kumpulan tegar yang tidak membayar balik pinjaman.

"Sebelum ini, peminjam yang tegar ditangani dengan cara tertentu seperti undang-undang, pungutan dan hasil.

"Bagaimanapun melihat kepada trend masalah membayar, kerajaan negeri cuba untuk tangani melalui nasihat termasuk pengurusan kewangan berkualiti supaya mereka tidak terbeban dengan pinjaman atau hutang," katanya selepas pada Majlis MoU YHS dan AKPK di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Amirudin (tiga dari kanan,berdiri) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara YHS diwakili Mearia dan Azaddin (kanan) daripada AKPK.
AKPK yang berlangsung di SSAAS pada Rabu.
Amirudin (tiga dari kanan,berdiri) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara YHS diwakili Mearia dan Azaddin (kanan) daripada AKPK. AKPK yang berlangsung di SSAAS pada Rabu.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif YHS, Datuk Mearia Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir.

Amirudin berkata, terdapat 10 peratus peminjam yang dilihat berpotensi membayar balik pinjaman.

Artikel Berkaitan:

"AKPK akan memberi kaunseling dan nasihat kepada peminjam ini mengenai kaedah menangani hutang supaya tidak terus terbeban.

"Kadang kala peminjam tiada maklumat dan pengetahuan menangani hutang. Ini yang AKPK akan bantu," katanya.

Sementara itu, Mearia berkata, sebanyak 1,000 akaun pembiayaan tertunggak dengan nilai RM12 juta akan diserahkan kepada AKPK untuk pelaksanaan fasa pertama Program Pengurusan Kredit.

Ujarnya, MoU ditandatangani tidak hanya tertumpu kepada Program Pengurusan Kredit sebaliknya turut merangkumi latihan dan pembangunan diri melalui pendidikan kewangan, webinar serta e-pembelajaran buat usahawan.

"Untuk menambah baik dan meningkatkan kemahiran usahawan Hijrah Selangor ke arah transformasi digital, penggunaan alat bantuan kewangan dan perakaunan AKPK (SME Toolkit) bakal diperkenalkan.

"Selain itu, AKPK juga akan menyediakan latihan pendidikan kewangan melalui modul kewangan bagi tujuan pensijilan, terutamanya dalam bidang pengurusan kewangan dan kredit," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28