Kedah, KL City tak jatuh ke Liga M3

KL City dan KDA FC akan kekal beraksi dalam saingan Liga Super.
KL City dan KDA FC akan kekal beraksi dalam saingan Liga Super.
A
A
A

DUA pasukan yang sebelum ini berdepan kemelut tunggakan gaji iaitu Kuala Lumpur (KL) City dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.

Ia selepas Badan bebas First Instance Body (FIB) menjelaskan kedua-dua pasukan itu memberikan komitmen tinggi untuk menyelesaikan masalah gaji tersebut walaupun gagal membuat bayaran 50 peratus jumlah tunggakan bagi tahun 2023 selepas tarikh pertama 15 Mac lalu.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, kedua-dua kelab itu akan dikenakan pemotongan mata dan denda sekiranya gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan gaji berkenaan pada tarikh kedua 30 Mac ini.

"Seperti yang kita sedia maklum, KL City baharu sahaja mengalami perubahan pengurusan peringkat tertinggi dan Penaung KL City, Fahmi Fadzil menerusi laporan media sebelum ini telah tampil menyatakan untuk menyelesaikan urusan gaji tertunggak dengan segera.

"Selain itu, FIB juga telah menerima surat rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bersetuju menyalurkan sumbangan bagi menyelesaikan bayaran tunggakan gaji KL City bagi tahun 2023 sebelum akhir Mac 2024.

"Manakala bagi KDA FC, kelab itu telah menyerahkan bukti pembayaran sejumlah RM600,000 sebagai bayaran sebahagian tunggakan gaji semasa bagaimanapun ia tidak mematuhi bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji seperti ditetapkan FIB.

"Namun begitu, FIB telah menerima bukti kewangan sumber dana yang akan diterima KDA FC dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Sheikh Mohd Nasir, walaupun FIB memberi ruang untuk KL City dan KDA FC menyelesaikan tunggakan gaji atas komitmen tinggi kedua-dua kelab itu namun FIB bersedia untuk mengenakan tindakan ke atas kedua-dua kelab itu untuk memastikan pematuhan kepada arahan FIB dihormati dan dipandang serius.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya KL City dan KDA FC gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan gaji berkenaan pada tarikh kedua 30 Mac 2024, hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda sebanyak RM 50,000 akan dikenakan dengan serta merta berdasarkan kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 “Article 2.4 (c) Licensing Sanctions”.

"FIB juga akan menilai semula status lesen kelab tersebut jika tidak mematuhi tarikh akhir kedua pembayaran tunggakan gaji serta tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing dalam musim Liga Malaysia yang akan datang," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28