Sabah tumpu tiga kawasan perhebat imunisasi polio

Gambar hiasan. - Foto: 123rf
Gambar hiasan. - Foto: 123rf
A
A
A

SANDAKAN - Suntikan imunisasi polio akan ditumpukan kepada tiga kawasan di negeri ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, tiga kawasan itu ialah Tuaran, Sandakan dan Kinabatangan di mana kes polio telah dilaporkan sejak bulan lepas.

"Kita ada sediakan 10,000 vaksin untuk kanak-kanak berumur bawah lima tahun di seluruh Sabah. Untuk minggu depan di Sandakan, Batu Sapi dan Kinabatangan, kita akan buat program kesedaran polio," katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Persembahan Tarian Singa, Unicorn dan Naga di sini hari ini.

Frankie mengulas mengenai dua kes polio terbaharu yang melibatkan seorang kanak-kanak berumur lapan tahun di Sandakan dan di Kinabatangan melibatkan kanak-kanak berumur 11 tahun yang kedua-duanya warga asing.

Beliau berkata, pemberian suntikan vaksin polio perlu diperluaskan kepada kanak-kanak yang berumur 15 tahun ke bawah memandangkan kes terbaharu iaitu di Kinabatangan melibatkan kanak-kanak berumur 11 tahun.

Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan murid sebuah tadika di Kota Kinabalu yang dikatakan meninggal dunia kerana virus influenza A (H1N1), bukan disebabkan virus itu.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu telah dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak Kanak Sabah pada 6 Januari lepas dalam keadaan tenat selepas mengalami demam, kelesuan, batuk dan selesema selama tiga hari. - Bernama

Artikel Berkaitan: