Pengusaha inap desa tagih promosi

Abdul Mutalib menunjukkan kain rentang yang memaparkan pelbagai aktiviti disediakan di Homestay Sedim.
Abdul Mutalib menunjukkan kain rentang yang memaparkan pelbagai aktiviti disediakan di Homestay Sedim.
A
A
A

APA Khabar Rakyat kali ini menyingkap masalah dihadapi pengusaha inap desa di kawasan rekreasi Sedim di Kulim, Kedah yang memerlukan bantuan dana dan promosi untuk mengembangkan perniagaan komuniti yang mereka jalankan.

Inap desa terbabit menawarkan pengunjung pengalaman tinggal bersama komuniti untuk mendalami rutin seharian penduduk kampung.

Bagaimanapun, oleh sebab kekangan dari segi promosi tidak ramai pengunjung mengetahui mengenai tawaran menarik itu.

Bahkan pemilik terpaksa mengeluarkan dana sendiri menaik taraf inap desa sedangkan mereka juga hanya penduduk kampung yang berpendapatan rendah.

Ikuti laporan wartawan ROSHILA MURNI ROSLI bagi mendengar sendiri keluhan pengusaha inap desa di sekitar Sedim.


Penduduk Kampung Sedim berjaya membawa kelainan dengan mewujudkan pelbagai aktiviti berkonsepkan suasana kampung untuk dirasai pelancong yang berkunjung ke Homestay Sedim.

Bagaimanapun, kekangan promosi dan dana menyebabkan perniagaan komuniti ini kurang berkembang dan tidak begitu popular.

Difahamkan, mereka lazimnya menerima tetamu terdiri daripada pelancong luar negara dan penuntut universiti yang mengadakan program khas.

Pengerusi Homestay Sedim, Abdul Mutalib Che Sa berkata, kekurangan promosi menyebabkan pelancong tempatan tidak memahami konsep dibawakan pengusaha inap desa.

Artikel Berkaitan:

“Inap desa kami bukan macam rumah tumpangan, apa yang kami bawakan kepada pelancong adalah pengalaman mereka tinggal bersama penduduk kampung.

“Pelancong juga kami anggap sebagai tetamu dan berpeluang menyertai beberapa aktiviti seperti membuat kuih tradisional, mandi sungai, white water rafting, sukan rakyat dan banyak lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, promosi kurang berkesan menyebabkan hanya agensi dan penuntut universiti sama sahaja yang sering berkunjung ke situ.

“Ramai tidak tahu inap desa kami sesuai juga untuk percutian keluarga yang inginkan pengalaman hidup sebagai orang kampung.

“Jangan risau walaupun tinggal bersama penduduk kampung, namun kami sediakan bilik khas dalam rumah mengikut spesifikasi seperti hotel termasuk pendingin hawa,” katanya.

Ujarnya, bantuan untuk tujuan pemasaran sangat diperlukan walaupun promosi di media sosial seperti TikTok kerap dilaksanakan.

“Memang kalau ikutkan promosi di media sosial, kita sudah mula bergerak secara aktif tetapi masih memerlukan bantuan promosi daripada pihak lain.

“Setakat hari ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memang ada bantu dari segi promosi, namun masih kurang berkesan kerana masih ramai tidak tahu pakej bersesuaian,” katanya.

Norzakiah
Norzakiah

Seorang pengusaha inap desa, Norzakiah Zakaria, 56, berkata, sebagai penduduk kampung yang hanya berpendapatan rendah, mereka agak terbeban dengan kos operasi inap desa.

“Ikutkan prosedur, kami perlu menyediakan bilik khas kepada pelancong yang akan tinggal bersama. Bilik ini mestilah mempunyai pendingin hawa, siling dan tandas sendiri,” katanya.

Menurutnya, oleh kerana tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak, dia terpaksa membuat pinjaman lebih RM15,000 untuk menyediakan bilik seperti dikehendaki.

“Ada pengusaha terpaksa menaik taraf bilik sedikit demi sedikit mengikut jumlah kewangan yang ada.

“Kami semua bukan orang kaya yang ada modal banyak.

"Jadi saya rasa agensi berkaitan atau kerajaan negeri seharusnya menyediakan peruntukan one-off atau geran kepada kami,” katanya.

Jelasnya, selain isu peruntukan, pengusaha inap desa juga menghadapi masalah tekanan air rendah.

Norzahari
Norzahari

Bagi Mohd Norzahari Zakaria, 50, walaupun beroperasi di bawah Motac tetapi bantuan publisiti dari luar juga dapat membantu pengusaha inap desa.

“Secara purata hanya dua kumpulan sahaja dalam sebulan akan masuk mengadakan program di tempat kami.

“Sedangkan Homestay Sedim adalah sumber pendapatan untuk komuniti setempat yang rata-ratanya adalah warga emas.

“Jadi saya cadangkan agensi kerajaan jika hendak mengadakan program, datanglah ke tempat kami,” katanya.

Sumber kewangan terhad jadi kekangan tingkat kualiti inap desa

Ketiadaan peruntukan berkala berikutan rata-rata pemilik terdiri daripada warga emas tanpa pendapatan antara cabaran utama dihadapi pengusaha inap desa.

Menurut Timbalan Presiden Homestay Malaysia, Abd Razak Abd Hamid, kerajaan perlu menyediakan peruntukan setiap tahun bagi membolehkan pengusaha inap desa menaik taraf bilik atau kediaman mereka demi keselesaan penginap.

Abd Razak
Abd Razak

“Setakat ini bantuan memang ada dari agensi kerajaan mengikut kemampuan kewangan yang mereka ada dan kali terakhir seingat saya peruntukan diberi adalah pada 2022.

“Jadi saya cadang peruntukan ini diberikan secara tetap supaya pengusaha boleh mohon untuk membaik pulih bilik secara berkala,” katanya.

Menurutnya, untuk merancakkan sektor inap desa juga, pengusaha perlu memahami personaliti dua jenis pelancong ketika menetap di inap desa.

“Pelancong luar atau asing lebih suka tinggal bersama tuan rumah sebab mahu merasai kehidupan orang kampung termasuk belajar budaya setempat tetapi bagi pelancong tempatan, mereka lebih suka tinggal berasingan.

“Sebab itu saya cadangkan pengusaha bina pelbagai jenis penginapan seperti chalet, cottage atau bilik berasingan dari rumah.

“Aktiviti bersama tuan rumah masih boleh dilakukan bersama cuma tempat tidur diasingkan kerana pelancong tempatan kadang-kadang mahukan lebih privasi,” katanya.

Abd Razak yang juga Pengerusi Homestay Kedah berkata, untuk menjamin pendapatan pengusaha inap desa, kerajaan perlu mewujudkan bengkel untuk menyokong ekonomi keluarga pengusaha.

“Maksudnya jika pemilik inap desa mengusahakan pembuatan kuih tradisional, kerajaan boleh memberi peruntukan membina bengkel kuih tradisional terbabit.

“Ini secara tidak langsung memberi pendapatan berterusan kepada pemilik selain hanya bergantung kepada inap desa semata-mata.

“Malah, bengkel terbabit juga boleh dijadikan lokasi demo pembuatan kuih tradisional kepada pelancong,” katanya.

Menurutnya, kewujudan bengkel dapat membuka mata generasi muda untuk berkecimpung dalam bidang sama demi meneruskan warisan keluarga.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28