'Kedah Hebat' perlu bantuan kerajaan Pusat - UMNO Kedah

Shaiful Hazizy
Shaiful Hazizy
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Kedah melihat Bajet Kedah 2024 tiada peningkatan signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya selain mendakwa Kerajaan Negeri gagal mewujudkan ruang baharu untuk menjana pendapatan negeri.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, hampir semua projek yang disenaraikan dalam bajet tersebut memerlukan sokongan kuasa Kerajaan Pusat.

"Secara mudahnya, saya boleh katakan, untuk melaksanakan projek-projek Bajet Kedah 2024 umpama melukut di tepi gantang dan Menteri Besar pula terpaksa melukut di tepian kuasa kerajaan Pusat.

"Tidak ada apa-apa elemen kelainan sama sekali di dalam Bajet Kedah 2024. 75 peratus daripada elemen untuk menjadikan 'Kedah Hebat' perlu ada komitmen dan bantuan daripada Kerajaan Pusat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas pembentangan Bajet Kedah 2024 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Sanusi Mohd Nor, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, di sini pada Selasa.

Bajet Kedah 2024 diumumkan berjumlah RM1.24 bilion berbanding RM1.35 bilion pada 2022 dan RM1.059 bilion pada 2023.

Jelasnya, kerajaan Negeri menerusi pembentangan bajet sering mencanangkan projek-projek seperti Kedah Rubber City, Special Border Economic Zone, dan Kedah Science and Technology Park.

Dakwanya, namun hakikatnya kepimpinan kerajaan Negeri gagal menunaikan tanggungjawab menyantuni dan memenuhi keperluan pelabur sehingga menyebabkan pelabur menarik diri.

Artikel Berkaitan:

"Tak perlu hiasi pembentangan bajet dengan persediaan kerajaan Negeri bagi membina lebih banyak Loji Rawatan Air (LRA) dan sebagainya tetapi apa sudah jadi dengan LRA Bukit Selambau dan beberapa LRA yang sedang dalam pembinaan? Adakah ianya diuruskan dengan baik," ujar beliau.

Shaiful Hazizy juga turut mempersoalkan di mana syarikat yang mengendalikan projek Lapangan Terbang Kulim (KXP) beroperasi.

"Kerajaan Negeri bakal terima RM2.5 bilion untuk tujuan pengambilan alihan tanah dalam tempoh 90 hari, tetapi di mana syarikat itu beroperasi? Adakah beroperasi di atas lot kedai nasi ayam di Pandan Mewah, Selangor?.

"Apa yang paling membimbangkan projek berimpak tinggi ini kekal diletakkan sebagai projek yang bakal menjadi katalis pembangunan baharu negeri Kedah dalam keadaan tiada persefahaman dengan kerajaan Persekutuan," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan perancangan Tahun Melawat Kedah 2025 yang mahu digerakkan oleh Kerajaan Negeri.

"Tahun 2025 mahu dilancarkan tetapi sehingga sekarang tiada maklumat permulaan dan pengakhiran, ataupun baru nak bincang?

"Saya sangsi kesungguhan kerajaan Negeri mahu menjayakan program ini tetapi bergaduh dengan Menteri Pelancongan, pada pandangan saya kalau MOTAC tak dilibatkan alamatnya program ni bakal masuk longkanglah," kata Shaiful Hazizy.