'Aura kejohanan kali ini luar biasa’ - Mat Ropi

Mat Ropi
Mat Ropi
A
A
A

PETINJU Kelab Muay Thai Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Rafi Abdul Manaf, 30, mengakui persiapan untuk kejohanan kali ini agak berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana perlu merebut tali pinggang kejuaraan bagi melayakkan diri ke ‘Clash of Champion’ tahun depan.

Beliau yang mesra dipanggil Mat Ropi berkata, kejohanan yang berlangsung pada 25 dan 26 November itu begitu istimewa kerana disertai ramai petinju luar negara.

“Tali pinggang kemenangan sudah banyak di rumah, cuma aura kali ini lain sikit. Kalau saya menang, mungkin pada bulan Mac atau Jun 2024 akan dicabar oleh petinju lain dari luar negara.

“Kebiasaannya, dua minggu sebelum bertanding saya akan mulakan latihan yang keras jika latihan biasa, namun untuk kejohanan ini lebih sebulan juga saya berlatih,” katanya kepada Sukan Sinar selepas sidang media Kejohanan Grand Final Kuda Merah International World Muay Thai 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Isnin.

Seramai 28 petinju hebat daripada 14 regu akan berentap merebut hadiah berupa 10 tali pinggang kejuaraan, dua tali pinggang juara pusingan dan piala berserta wang tunai.

Hadir sama ke sidang media berkenaan ialah Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh; Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang, ahli kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur dan barisan pengamal media.

Anak kelahiran Kelantan itu memaklumkan, beliau masih berada dalam mod pemakanan seimbang dan diet yang ketat kerana mahu mencapai berat 75 kilogram bagi melayakkannya bertanding dalam kategori berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar penyokong dari negeri Pantai Timur turun padang untuk memberikan semangat buatnya semasa pertandingan berlangsung nanti.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!