Air terjun Titi Hayun kering-kontang

Mohd Said (kiri) menunjukkan keadaan air terjun Titi Hayun yang kering-kontang.
Mohd Said (kiri) menunjukkan keadaan air terjun Titi Hayun yang kering-kontang.
A
A
A

YAN - Cuaca panas melampau melanda negeri ini memberi kesan terhadap kawasan peranginan Titi Hayun yang sebelum ini pernah dilanda fenomena kepala air, kini menjadi kering-kontang.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi air terjun itu mendapati kapasiti air semakin susut.

Penduduk, Mohd Said Ariffin, 56, berkata, dia mula menyedari keadaan itu sejak hujung Januari lalu.

“Situasi ini menyebabkan kawasan peranginan Titi Hayun semakin hilang seri apabila tiada lagi kedengaran bunyi deruan air terjun seperti kebiasaan.

“Memang tahun ini cuaca panas agak luar biasa, selalunya tidaklah sampai ke tahap ini, air pun terasa panas, saya boleh nampak hanya terdapat kawasan tertentu sahaja ada terbentuk lopak air,” katanya.

Mohd Said berkata, sekiranya fenomena El Nino ini berlarutan, pengunjung tidak lagi akan memilih kawasan peranginan di daerah ini untuk mandi-manda sekali gus menjejaskan sektor pelancongan desa di sini.

Firdaus
Firdaus

Pemandu lori, Firdaus Mustafa, 26, berkata, dia menjadikan Titi Hayun sebagai tempat berehat dan berhenti makan sejak setahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini, saya akan makan di sini, tapi sejak sebulan lalu, pengunjung berkurangan kerana air semakin kering, banyak gerai yang tutup apabila tiada pelanggan.

“Saya dan rakan sekerja pula akan berhenti untuk mandi di sini pada waktu rehat, tapi sekarang sudah tak boleh kerana air kering, di bulan puasa ini, kami hanya singgah untuk melelapkan mata seketika sebelum menyambung pemanduan,” katanya.

Seorang pengunjung melihat situasi terkini tiada lagi air terjun setinggi kira-kira 100 meter di Seri Perigi, Yan, Kedah.
Seorang pengunjung melihat situasi terkini tiada lagi air terjun setinggi kira-kira 100 meter di Seri Perigi, Yan, Kedah.

Kelindan, Mohd Fauzi Md Yahya, 55, berkata, selain Titi Hayun, keadaan lokasi peranginan air terjun Batu Hampar di sini juga susut.

Menurutnya, hanya bongkah batu yang kelihatan menjadikan keadaan peranginan itu semakin suram.

Sementara itu, tinjauan di lokasi perkelahan Seri Perigi kira-kira tiga kilometer dari Titi Hayun pula mendapati tiada lagi air terjun setinggi kira-kira 100 meter itu yang sebelum ini menjadi tumpuan ramai.

Firdaus menunjukkan keadaan air di kawasan peranginan Titi Hayun yang susut akibat cuaca panas.
Firdaus menunjukkan keadaan air di kawasan peranginan Titi Hayun yang susut akibat cuaca panas.

Ia disebabkan cuaca panas melampau melanda negeri Kedah sejak beberapa bulan lalu.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa lokasi air terjun di kaki Gunung Jerai itu pernah dilanda fenomena kepala air sehingga mengorbankan enam nyawa pada 18 Ogos 2021.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28