OP Samba 2.0: 15 penjawat awam ditahan disyaki terima rasuah lebih RM2 juta

SPRM menahan 15 lagi penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara. Gambar hiasan
SPRM menahan 15 lagi penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 15 lagi penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara.

Tangkapan terhadap kesemua lelaki itu dilakukan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM menerusi Op Samba 2.0 yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 11 Mac lepas.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 30-an dan 50-an ditahan pada kira-kira jam 2 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

"Siasatan awal mendapati semua suspek disyaki terlibat dalam perbuatan tersebut antara 2017 hingga 2023.

"Mereka yang ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain,” katanya.

Berikutan penahanan individu berkenaan, AML SPRM telah merampas barangan seperti telefon bimbit dan membekukan akaun bank kesemua individu berkenaan.

Sebelum ini AML SPRM menahan 11 individu termasuk lima penjawat awam yang kemudiannya direman bagi membantu siasatan.

Difahamkan modus operandi sindiket tersebut termasuk menggunakan khidmat "forwarding agent" sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada penguat kuasa untuk melicinkan proses penyeludupan arak, rokok, tembakau dan barangan lain tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan sepatutnya.

Artikel Berkaitan:

Sindiket itu juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, sindiket itu juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan 15 suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kesemua individu itu akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!