Rakyat Indonesia bantah keputusan pilihan raya, dakwa ada penipuan

Orang ramai membantah keputusan awal Pilpres dan menuntut pemecatan Presiden Indonesia, Joko Widodo kerana didakwa terlibat dalam politik dinasti keluarga. - Foto: AFP
Orang ramai membantah keputusan awal Pilpres dan menuntut pemecatan Presiden Indonesia, Joko Widodo kerana didakwa terlibat dalam politik dinasti keluarga. - Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Pilihan Raya Indonesia (Pilpres) sudah berakhir, namun muncul pula bantahan menentang keputusan tidak rasmi yang dilihat 'seperti tidak berkesudahan'.

Bahkan, anggota polis dikerahkan ke Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) demi memastikan bantahan yang diadakan di sana tidak bertukar ganas.

Ramai penunjuk perasaan menggesa agar suruhanjaya tersebut menghalang calon Presiden Prabowo Subianto daripada menggalas tanggungjawab sebagai ketua negara negara yang seterusnya.

Mereka mendakwa terdapat penipuan pilihan raya yang dilakukan secara besar-besaran.

KPU dijangka mengumumkan keputusan rasmi Pilihan Raya Presiden pada Rabu (hari ini).

Pengiraan undi pantas yang dijalankan oleh kumpulan kaji selidik bebas dan badan pemikir telah menunjukkan bahawa Prabowo, seorang veteran tentera yang kontroversi, mempunyai kelebihan besar ke atas lawannya, bekas gabenor Jakarta Anies Baswedan dan bekas Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan bahawa Prabowo memperoleh kira-kira 58 peratus undi semasa pilihan raya pada 14 Februari lalu manakala Anies memenangi kira-kira 25 peratus undi dan Ganjar Pranowo hanya meraih kira-kira 17 peratus undian.

Pemerhati berkata, dakwaan penyelewengan dalam proses pilihan raya dijangka mencetuskan cabaran terhadap keputusan yang diumumkan nanti.

Artikel Berkaitan:

Presiden Indonesia, Joko Widodo juga dituduh campur tangan dalam pilihan raya berkenaan, selain menunjukkan sokongannya terhadap Prabowo, yang bertanding di samping anak lelaki sulung beliau, Gibran Rakabuming Raka.

"Kami mendapati pelbagai tipu helah dilakukan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. Rentetan penipuan ini seolah-seolah sudah dirancang secara rapi sejak dahulu lagi.

"Maka itu kami berasa bahawa pilihan raya ini dijalankan secara tidak wajar dan merupakan yang paling teruk setakat ini. Kami mungkin akan terus membantah penipuan-penipuan sebegini walaupun selepas 20 Mac," kata jurucakap satu gabungan kumpulan-kumpulan yang mengemukakan petisyen, Marlin Bato. - Agensi