Industri sawit terjejas selepas pembekuan kuota pengambilan warga asing

Industri sawit terjejas dan menghadapi masalah untuk mengupah pekerja asing selepas kerajaan membekukan kuota pengambilan pekerja asing disebabkan lebihan pekerja asing ketika ini adalah bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan. Gambar hiasan
Industri sawit terjejas dan menghadapi masalah untuk mengupah pekerja asing selepas kerajaan membekukan kuota pengambilan pekerja asing disebabkan lebihan pekerja asing ketika ini adalah bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Industri sawit terjejas dan menghadapi masalah untuk mengupah pekerja asing selepas kerajaan membekukan kuota pengambilan pekerja asing disebabkan lebihan pekerja asing ketika ini adalah bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, industri sawit masih bergantung kepada pekerja asing dengan kira-kira 75 peratus terdiri daripada pekerja asing.

Sebagai contoh, setiap lapan hektar diuruskan oleh satu pekerja, justeru sekiranya keluasan 1,000 hektar, kira-kira 125 pekerja diperlukan dan daripada jumlah itu 75 peratus adalah pekerja asing, industri sawit kekurangan hampir 40,000 orang pekerja dan ia lebih tertumpu kepada kerja-kerja penuaian dan juga penuai.

"Sebenarnya, baru-baru ini kerajaan telah membekukan kuota pekerja asing, pembekuan ini berikutan terdapat lebihan pekerja asing dalam negara tetapi jumlahnya (lebihan pekerja asing) adalah dalam bidang berbeza dengan perladangan.

"Sebagai contoh, buat masa ini dalam sektor perkilangan Malaysia mempunyai lebihan 165,497 pekerja asing sementara bagi sektor perkhidmatan pula, kita ada lebihan 27,158 pekerja asing. Pekerja asing berlebihan ini susulan pembukaan semula perniagaan dan ekonomi selepas pandemik Covid-19 berakhir.

"Justeru, mana-mana syarikat yang membuat permohonan pengambilan pekerja asing...kementerian akan meluluskannya. Apabila sudah diluluskan, tiada penyelarasan, perniagaan mengambil masa untuk berkembang selepas ditutup dua tahun akibat pandemik, itu sebabnya terdapat lebihan pekerja asing di Malaysia,” katanya pasa sesi soal jawab di Dewan Negara, pada Selasa.

Johari menjawab soalan Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang meminta penjelasan berkaitan usaha yang dilakukan bagi menyelesaikan keperluan kira-kira 40,000 tenaga kerja asing dalam sektor perladangan kelapa sawit.

Beliau berkata, syarikat-syarikat terlibat dalam sektor perladangan menghadapi kekurangan pekerja asing, justeru penentukuran semula dilakukan terhadap golongan lebihan pekerja asing yang tidak bekerja, seterusnya mereka ditawarkan kerja dalam sektor perladangan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, industri peladangan bimbang untuk mengambil lebihan pekerja asing ini sebab sebahagian daripada mereka jika diambil bekerja tanpa kerelaan akan menyebabkan dia (pekerja asing) dianggap sebagai buruh paksa.

"Sekiranya pekerja asing ini adalah buruh paksa, akibatnya hasil daripada ladang-ladang akan turut terjejas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementerian akan cuba untuk mengupah lebihan pekerja asing tersebut selain daripada melaksanakan ‘pilot test’ (projek rintis) dengan mengupah 60 pekerja muda tempatan bagi menukar persepsi bekerja di ladang.

"Apa yang penting, kita nak mereka (pekerja muda tempatan) ini mahir dalam penuaian. Penuai memainkan peranan penting sebab jika mempunyai 100 pekerja di ladang, 50 peratus adalah penuai.

"Justeru, kita beri latihan kepada golongan muda untuk menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kita latih dia bagaimana nak tuai pokok kepala sawit. Kita panggil mereka sebagai penuai mahir (specialist harvester) dengan harapan dia akan memperoleh gaji sehingga RM3,000.

"Ia dapat menarik minat golongan muda. Malaysia sahaja yang ada masalah pekerja. Di Indonesia, 100 peratus adalah penuai tempatan dan penuai mereka adalah mahir, sebab itu sebahagian daripada mereka datang ke Malaysia dan mereka menjadi penuai,” katanya.

Johari berkata, industri sawit negara menanggung kerugian pendapatan mencecah RM20 bilion hingga RM30 bilion susulan isu kekurangan tenaga kerja. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!