Lelaki cedera diseret 10 meter kejar kenderaan dilarikan penjenayah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NILAI - Seorang lelaki cedera akibat terjatuh ketika berpaut kira-kira 10 meter dari kenderaan pacuan empat roda(4x4) milik majikannya yang dilarikan penjenayah di sebuah taman perumahan dekat sini pada Selasa.

Difahamkan kejadian kira-kira jam 7 pagi itu berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja menyelenggara menara telekomunikasi di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kaunter aduan Balai Polis Nilai telah menerima maklumat kejadian itu susulan aduan dibuat oleh mangsa yang berusia 40-an.

"Mangsa memberitahu ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di lokasi, tiba-tiba didatangi sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton model lama berwarna hitam.

"Kemudian suspek dua lelaki terus masuk ke dalam pacuan empat roda milik majikan mangsa yang diletakkan di situ dan melarikannya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, mangsa cuba mengejar suspek dengan berpaut pada bahagian belakang kenderaan sehingga mengakibatkan dia cedera pada beberapa bahagian anggota badan.

Tambahnya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup(CCTV) mendapati, nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan milik suspek adalah palsu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada Pusat Kawalan Daerah IPD Nilai di talian 06-7904389," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!