Pegawai penguat kuasa KKM pantau kawasan larangan merokok

Lukanisman Awang. Foto Bernama
Lukanisman Awang. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi kuasa kepada 189 pegawai penguat kuasa seperti polis bantuan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain di bawah Seksyen 3 Akta Makanan 1983 atau Akta 281 bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap larangan merokok di tempat yang tidak dibenarkan.

Timbalan Menterinya Lukanisman Awang Sauni berkata, proses itu akan diteruskan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) selain pemerkasaan masyarakat melalui penglibatan badan bukan kerajaan (NGO), badan profesional dan lain-lain.

"Sehingga kini, terdapat 189 pegawai penguat kuasa dan polis bantuan iaitu 95 penguat kuasa daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 77 polis bantuan daripada Kumpulan Sunway dan 17 polis bantuan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sungai Buloh telah diturunkan kuasa bagi memastikan pematuhan orang ramai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr Noraini Idris berhubung kolaborasi penguatkuasaan oleh kementerian bersama pihak berkaitan dalam membendung perbuatan di tempat awam yang merisikokan orang awam.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, pewujudan ruang khas di luar kawasan kedai makan iaitu tempat diwartakan sebagai tempat larangan merokok perlu mendapatkan kebenaran PBT.

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 20 Januari 2020 telah mengeluarkan pekeliling iaitu sekiranya mana-mana pihak ingin mengadakan tempat merokok mesti dibina menurut syarat yang ditetapkan dan mendapat kebenaran PBT.

"Tujuan utama adalah untuk memastikan hanya kemudahan asas seperti tempat abu rokok sahaja disediakan bagi mengelakkan perokok berada lama di tempat itu.

"KKM terlibat dalam pelaksanaan oleh PBT untuk memastikan semua input teknikal seperti yang digariskan dalam pekeliling ini dipatuhi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penyediaan tempat merokok di luar kawasan diwartakan adalah bagi memastikan pematuhan kepada peraturan larangan merokok di tempat makan seperti yang termaktub di bawah Peraturan 11(1)(d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di bawah KKM kekal diikuti bagi melindungi rakyat daripada bahaya asap atau wap produk vape.

Selain itu, ia bagi memastikan kebersihan tempat awam daripada pembuangan puntung rokok merata-rata dan mewujudkan keadaan denormalisasi budaya merokok dalam kalangan masyarakat terutama orang belum dewasa dengan meletakkan tempat merokok jauh daripada pandangan awam. - Bernama