Pembantu tadbir sekolah direman

Wanita berusia 54 tahun (tengah) direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret pada Selasa.
Wanita berusia 54 tahun (tengah) direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Pembantu tadbir wanita di sebuah sekolah direman tujuh hari oleh Mahkamah Masjitret dekat sini pada Selasa kerana disyaki memberikan kerja-kerja pembekalan sekolah berjumlah RM125,158.01 sepanjang tahun 2020 kepada syarikat milik anaknya.

Perintah tahanan reman bermula Selasa hingga Isnin depan terhadap wanita berusia 54 tahun itu dikeluarkan Majistret Khairunisak Hassni.

Sumber berkata, suspek ditahan selepas disyaki menggunakan jawatan beliau dengan memberikan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan di sekolah tempatnya bertugas sepanjang tahun 2020 dengan jumlah berkenaan.

Siasatan awal yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai terdapat juga kerja-kerja pembekalan bagi tahun 2019, 2021 dan 2022 yang menggunakan modus operandi yang sama.

Suspek wanita itu ditahan ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka kira-kira jam 2.40 petang pada Isnin.

Penahanan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!