Wanita 'buat kecoh' dalam masjid direman empat hari

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

GEORGE TOWN - Wanita yang dilaporkan memasuki Masjid Jamek Ar-Rahman dan melakukan provokasi terhadap jemaah direman selama empat hari bermula Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, wanita warga emas itu ditahan selepas hadir ke balai polis berhampiran bersama ahli keluarganya.

“Wanita itu dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman hari ini dan mahkamah membenarkan suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

“Dia akan dirujuk kepada hospital untuk mendapatkan rawatan psikiatri kerana didapati mempunyai gejala penyakit mental," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan wanita yang didakwa memasuki Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi dan bertindak melakukan provokasi terhadap jemaah seperti tular di media sosial dilaporkan mengalami masalah mental.

Malah kejadian yang berlaku pada 12 Mac lalu didakwa bukanlah insiden kali pertama sebaliknya wanita warga emas terbabit pernah beberapa kali melakukan tindakan sama kerana tidak berpuas hati dengan bunyi pembesar suara masjid yang bising.

Pengerusi Kariah Jamek Ar-Rahman, Ismail Din berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam apabila wanita berkenaan masuk ke dalam masjid tanpa menutup aurat dan bertanyakan kepada jemaah mengenai suara bacaan bilal serta imam yang didakwa terlalu kuat hingga mengganggu kejiranan.

Katanya, wanita itu kemudian melontarkan soalan berbaur provokasi selain menggunakan perkataan kurang sopan.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28