Perjuangan Loca B buat Yusuf berakhir khabar gembira

Tuju dan Loca bersama Yusuf.
Tuju dan Loca bersama Yusuf.
A
A
A

PERJUANGAN penyanyi rap, Loca B untuk mendapatkan kerakyatan buat anak sulungnya, Yusuf Alexander selama lapan tahun berakhir dengan khabar gembira.

Kongsi Loca B atau nama sebenarnya Nabilah Hani Azali menerusi aplikasi TikTok, dia telah menerima panggilan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memaklumkan berita gembira itu.

“Saya pernah berkongsi perjalanan sukar untuk mendapatkan kerakyatan bagi anak saya, Yusuf. Sekarang saya mahu berkongsi bahawa saya telah mendapat panggilan dari JPN.

“Yusuf akan menjadi warganegara Malaysia. Terima kasih kepada semua yang membantu dalam perjalanan ini,” ujarnya.

Isteri kepada penyanyi Tuju itu turut menganggap berita gembira tersebut sebagai satu rahmat sempena Ramadan.

Menerusi hantaran berbeza, selebriti berusia 32 tahun itu turut meluahkan rasa syukur apabila tidak perlu lagi untuk berulang-alik ke pejabat kedutaan untuk memperbaharui visa anaknya selepas ini.

“Tiada lagi lawatan ke kedutaan,” ujarnya.

Terdahulu, pada tahun 2021, Loca B pernah meluahkan rasa kecewa apabila Yusuf yang sudah menetap di negara ini sejak kecil masih berstatus bukan warganegara.

Artikel Berkaitan:

Yusuf yang kini berusia lapan tahun merupakan anak sulung Loca B menerusi perkahwinan pertama dan dilahirkan di United Kingdom.

Loca B kemudiannya berkahwin dengan Tuju yang juga bekas anggota kumpulan K-Clique pada Mac 2020 dan dikurniakan seorang lagi cahaya mata bernama Bintang Aiko.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!