MAIWP noktahkan miskin tegar di Wilayah Persekutuan - Mohd Na'im

Mohd Na'im. Foto Bernama
Mohd Na'im. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah berjaya menoktahkan kemiskinan tegar di Wilayah-Wilayah Persekutuan dengan pelbagai inisiatif dan skim bantuan yang ditawarkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kejayaan itu disifatkan tepat pada masanya sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun MAIWP tahun ini.

Menurutnya, antara pendekatan diambil yang telah menghasilkan kejayaan MAIWP adalah bermula 2022 sehingga 2023 apabila agensi itu telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi aktiviti pembangunan asnaf.

"Ia meliputi empat program utama iaitu program pembangunan usahawan, program latihan dan kerjaya, program agro (pertanian bandar) dan program kerohanian.

"Untuk program pembangunan usahawan, bilangan peserta terlibat sepanjang tahun 2022 adalah seramai 1,715 orang asnaf yang terdiri daripada 1,342 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 373 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan," katanya di Dewan Negara pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berhubung jumlah peruntukan kewangan dan bilangan peserta terlibat dalam Program Pembangunan Asnaf yang telah dilancarkan oleh MAIWP pada tahun 2022.

Tambahnya, sebanyak 23 buah program berkaitan dengan Pembangunan Usahawan Asnaf MAIWP telah dilaksanakan sepanjang tahun 2022 iaitu15 buah program dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan lapan buah program dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan.

"Seterusnya, bilangan peserta terlibat sepanjang tahun 2023 dalam program-program pembangunan asnaf yang dianjurkan oleh MAIWP adalah seramai 2,885 orang asnaf yang terdiri daripada 2,393 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 492 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 35 buah program berkaitan dengan Pembangunan Usahawan Asnaf MAIWP telah dilaksanakan sepanjang tahun 2023 iaitu 29 buah program dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan sembilan buah program dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan," jelasnya.

Katanya lagi, sepanjang tahun 2022 dan 2023, sebanyak 58 buah Program Pembangunan Asnaf telah dianjurkan oleh MAIWP yang telah melibatkan penyertaan seramai 4,600 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Program-program Pembangunan Usahawan Asnaf ini telah dilaksanakan oleh MAIWP dengan kerjasama rakan strategik seperti agensi kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, Institusi Keusahawanan Negara, Majlis Amanah Rakyat, Tenaga Nasional Berhad, Halal Jakim, syarikat swasta dan lain-lain.

Dalam pada itu katanya, bagi program latihan dan kerjaya, bilangan perserta yang terlibat sepanjang tahun 2022 adalah seramai 311 orang asnaf yang terdiri daripada 237 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 74 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sementara itu katanya, sebanyak 33 buah program berkaitan dengan Program Latihan dan Kerjaya Asnaf MAIWP telah dilaksanakan sepanjang tahun 2023 iaitu 23 buah program dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan enam buah program dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan.

"Sepanjang tahun 2022 dan 2023, sebanyak 62 buah program Program Latihan dan Kerjaya Asnaf MAIWP telah dianjurkan oleh MAIWP yang telah melibatkan penyertaan seramai 716 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan," katanya.

Katanya lagi, secara keseluruhan, jumlah asnaf yang terlibat dalam Program Pembangunan Asnaf pada tahun 2022 hingga 2023 di Wilayah-Wiayah Persekutuan adalah seramai 10,288 orang peserta dengan bilangan 172 program yang melibatkan perbelanjaan RM19,289,310.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28