'Sabah Maju Jaya' gagal jika 8 daerah masih miskin tegar - Bung Moktar

Datuk Seri Bung Moktar Radin
Datuk Seri Bung Moktar Radin
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah digesa mencari jalan penyelesaian untuk mengeluarkan lapan daerah di negeri ini yang masih dalam garis kemiskinan tegar.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah bersepadu perlu dilakukan bagi menoktahkan tahap kemiskinan di Tongod, Ranau, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Lahad Datu dan Tuaran.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, jika isu ini tidak diselesaikan segera ia akan merencatkan slogan kerajaan negeri Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Jadi perlu ada tindakan dan penyelesaian bersepadu. Jika tidak gagasan SMJ hanya dilihat retorik semata-mata, gagal mencapai matlamatnya dan dalam masa yang sama imej kerajaan negeri akan tercalar.

"Ia akan menggambarkan slogan SMJ sudah tidak relevan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap jawapan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis di mana kadar kemiskinan tegar di lapan daerah di Sabah adalah lebih tinggi berbanding kadar nasional.

Bung Moktar turut menggesa kerajaan negeri supaya tidak bergantung sepenuhnya dengan peruntukan dari kerajaan Pusat untuk membangunkan Sabah dalam usaha mengeluarkan rakyatnya dari garis kemiskinan tegar.

"Kerajaan negeri telah mengumumkan mempunyai simpanan kewangan yang banyak. Justeru dengan kedudukan kewangan yang baik perlu digunakan untuk membantu memajukan negeri dan meningkatkan ekonomi rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Bukan saja dari segi penyediaan prasarana, namun membantu membangunkan rakyat melalui pelbagai insiatif dan bantuan yang boleh meningkatkan taraf sosioekonomi mereka," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28