Gangguan air: Kurangkan penggunaan 10 peratus serta-merta - PBAPP

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menasihatkan penduduk di negeri ini mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus serta-merta bagi mengelak sebarang isu pada musim kemarau ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K Pathmanathan berkata, anggaran penggunaan air di Pulau Pinang direkodkan mencecah 927 juta liter sehari (JLH) pada Ahad berbanding purata 877 JLH pada tahun lalu.

Menurutnya, PBAPP mengeluarkan sebanyak mungkin air untuk pengguna tetapi peningkatan penggunaan sebanyak 50 JLH ini menyebabkan masalah bekalan air di beberapa kawasan.

"Peningkatan mendadak dalam penggunaan air, terutamanya dalam keadaan situasi kekurangan air seperti di Pulau Pinang, agak kurang bijak dan tidak mampan.

"Kadar 50 JLH merujuk kepada jumlah air yang cukup untuk mengisi 20 kolam renang saiz Olimpik setiap hari atau 33,333,333 botol besar (1.5L) air minuman setiap hari.

"Ini telah menyebabkan masalah di beberapa kawasan di Daerah Barat Daya dan Seberang Perai Selatan seperti yang dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu," katanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Pathmanathan memaklumkan, paras air di Sungai Muda yang rendah kini berada di bawah paras selamat untuk pengabstrakan air di muka sauk Lahar Tiang di Seberang Perai.

Jelasnya, paras Empangan Muda di Kedah yang melepaskan air ke Sungai Muda dilaporkan menurun kepada 48.6 peratus pada Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

"Mujurlah, paras Empangan Beris, empangan kedua yang mungkin melepaskan air ke Sungai Muda, dilaporkan 98.6 peratus pada hari yang sama.

"PBAPP terus mengabstrak sebanyak mungkin air mentah dari Sungai Muda setiap hari untuk memenuhi permintaan air Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, operasi pelepasan air dari Empangan Muda dan Empangan Beris ke Sungai Muda ketika musim kemarau terletak di tangan pihak berkuasa Kedah," katanya lagi.

Sementara itu, Pathmanathan memaklumkan, kapasiti efektif Empangan Air Itam menurun sebanyak 0.8 peratus daripada 38.1 peratus pada Jumaat kepada 37.3 peratus pada Ahad lalu.

Katanya, PBAPP terpaksa melepaskan lebih 11 JLH dari empangan dan Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam terpaksa mengeluarkan 25 JLH air terawat untuk memenuhi permintaan air yang meningkat.

"Jadi, sila kurangkan penggunaan air di Pulau Pinang ketika musim kemarau ini.

"Bekalan air kita kini berada dalam keadaan tidak selamat sehinggalah hujan mengisi semula empangan kita dan Empangan Muda di Kedah," tambahnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28