Davies, Eldstal terlepas aksi di Oman

Davies dan Eldstal tidak akan menyertai skuad Harimau Malaya ke Oman akibat kecederaan. Foto FB FAM.
Davies dan Eldstal tidak akan menyertai skuad Harimau Malaya ke Oman akibat kecederaan. Foto FB FAM.
A
A
A

DUA pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Matthew Davies dan Junior Eldstal tersisih daripada skuad kebangsaan ke Muscat, Oman akibat kecederaan.

Skuad Harimau Selatan memohon pengecualian buat kedua-dua pemain itu untuk melapor diri bersama pasukan negara bagi membolehkan mereka menjalani rawatan pemulihan bersama kelab.

"Laporan kecederaan turut dilampirkan bersama dalam surat tersebut," kata Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon menerusi satu kenyataan di Facebook sebentar tadi.

Davies dan Eldstal tidak melapor diri selepas JDT menerusi satu surat rasmi memaklumkan bahawa mereka telah mengalami kecederaan semasa perlawanan latihan pada 14 Mac lalu.

Tanpa kehadiran Davies dan Eldstar hanya baki lapan pemain iaitu tujuh pemain JDT serta Dion Cools dari Buriram United telah melapor diri ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya pada Jumaat.

Pan-gon memberitahu, ketiadaan Davies dan Eldstar, skuad Harimau Malaya kini mempunyai 31 pemain dalam kem latihan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai tujuh pemain telah dilepaskan ke skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan kendalian Juan Torres Garrido.

"Mereka akan memulakan kem latihan pusat pada hari ini sebagai persiapan menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar, bulan depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan perkembangan terbaharu itu, hanya seramai 24 pemain yang akan dibawa ke Muscat pada hari ini.

Ia bagi menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex pada 21 Mac.

Sepak mula dijadual pada jam 10 malam (2 pagi Jumaat waktu Malaysia).

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28