Harimau Selatan sukar dicabar

Pemain JDT meraikan kemenangan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat. - Foto Bernama
Pemain JDT meraikan kemenangan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus melebarkan penguasaan mereka dalam kancah Liga Malaysia selepas mempertahankan Piala Malaysia apabila menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Kemenangan itu menyaksikan JDT meletakkan penanda aras baharu apabila menjadi pasukan pertama memenangi empat piala iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia dalam satu musim buat kali kedua berturut-turut.

Malah, Harimau Selatan juga menyamai rekod Kedah yang memenangi 'double treble' pada 2007 dan 2008.

Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, ia satu perkara menakjubkan dapat menguasai empat piala untuk dua tahun berturut-turut meletakkan JDT pada tahap berbeza.

Beliau juga menghadiahkan kemenangan tersebut kepada pemilik kelab,Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Ia perlawanan akhir yang sukar kerana Terengganu adalah sebuat pasukan yang bagus. Tetapi, kami sangat gembira dan berbangga dengan kerja keras pemain.

"Saya bersyukur kerana baginda memberi saya peluang untuk mengendalikan pasukan yang hebat ini.

"Ia bukan hanya pasukan tetapi usaha baginda untuk melihat mutu bola sepak menjadi lebih baik setiap tahun. Pemain juga memahami dan mempunyai mentaliti juara," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perlawanan itu, gol JDT dijaringkan oleh Bergson da Silva, Feroz Baharudin dan Arif Aiman manakal gol tunggal TFC dijaringkan oleh Ivan Mamut.

Kejayaan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan melengkapkan trofi mereka musim ini selepas dinobat juara Piala FA Julai lalu dan merangkul kejuaraan Liga Super September lepas.

JDT turut muncul juara Piala Sumbangsih dengan mengatasi Terengganu 2-0 pada aksi pembukaan musim ini, Februari lepas.

Dalam pada itu, beliau turut mempertahankan keputusan pengadil yang tidak memberikan kad merah kepada pemain pertahanannya, Jordi Amat susulan beberapa kekasaran termasuk terjahan yang terhadap Mamut dalam kotak penalti.

"Saya tidak rasa ia kad merah dan pengadil buat keputusan tepat beri kad kuning," katanya.