Kerajaan salur RM153.2 juta bangunkan Kelantan Selatan

Ahmad Zahid beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batang Merbau, di Tanah Merah pada Sabtu.
Ahmad Zahid beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batang Merbau, di Tanah Merah pada Sabtu.
A
A
A

TANAH MERAH - Sejumlah RM153.2 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bermula 2021 hingga 2024 untuk membangunkan Kelantan Selatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM36.47 juta telah diluluskan kerajaan merangkumi pelaksanaan 27 program dan projek pembangunan.

"Peruntukan ini disalurkan menerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

"Sebanyak RM7.2 juta daripada jumlah tersebut telah diperuntukkan kepada rakyat Tanah Merah melalui projek pembangunan," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batang Merbau, di sini pada Sabtu.

Menurut beliau yang juga Menteri KKDW, ia melibatkan kemudahan awam, infrastruktur perhubungan dan utiliti desa yang memberi manfaat langsung kepada lebih 10,000 orang penduduk.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu memberitahu, sebanyak RM42.5 juta telah diluluskan oleh kementerian lain melibatkan projek menaiktaraf jalan ke Kampung Kusial.

Ujarnya, projek tersebut dijangka siap tahun 2026 sekali gus menyelesaikan isu jalan perhubungan yang terputus ke kampung berkenaan semasa banjir.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai hadir pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batang Merbau, di Tanah Merah pada Sabtu.
Orang ramai hadir pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batang Merbau, di Tanah Merah pada Sabtu.

Tambah Ahmad Zahid, dalam tempoh tiga tahun bermula 2021, Kesedar telah membina 35 unit rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) melibatkan kos sebanyak RM2.3 juta.

"Pada masa sama, sebanyak RM1.5 juta telah disalurkan untuk kerja-kerja baik pulih 141 unit rumah.

"Kerajaan Persekutuan akan terus memacu lebih banyak program-program pembangunan yang boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan Tanah Merah dan kawasan Kelantan Selatan umumnya," ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, sebanyak RM293,300 telah disalurkan oleh Kesedar kepada 475 masjid dan madrasah di kawasan Kelantan Selatan.

Beliau memberitahu, belanja itu bertujuan menghidupkan bulan Ramadan serta melibatkan ceramah-ceramah agama, majlis berbuka puasa dan lain-lain

"Sebanyak RM60,000 untuk bantuan persekolahan kepada pelajar-pelajar di Wilayah Kelantan Selatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!