Kehilangan Dhia Batrisyia: Polis rekod keterangan lima individu

Siti Dhia Batrisyia dipercayai bertindak keluar dari rumahnya di Pudu, di sini disebabkan perselisihan faham.
Siti Dhia Batrisyia dipercayai bertindak keluar dari rumahnya di Pudu, di sini disebabkan perselisihan faham.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis merakam percakapan lima individu berhubung kehilangan seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun di Jalan San Peng, dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya merakam percakapan ahli keluarga dan rakan pelajar tersebut.

"Pihak polis telah merakam percakapan lima individu terdekat dengan pelajar yang hilang itu.

"Kita masih menjalankan siasatan berhubung kes orang hilang ini dan diharap ada petunjuk terbaik bagi mengesan pelajar ini," katanya pada Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan pelajar Tahun Enam, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar didapati tidak pulang selepas keluar rumah pada hari kejadian.

Siti Dhia dipercayai keluar dari rumahnya di Perumahan Sri Selangor, dekat sini untuk bertemu rakannya.

Sementara itu, ibu mangsa, Syarifah Rosfazila Syed Mohd Fazili, 41, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu dipercayai keluar rumah ketika dia sedang membeli juadah berbuka.

Menurutnya, pada hari kejadian, Siti Dhia tidak hadir ke sekolah dan dia ada menegur perbuatan anaknya itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kemungkinan akibat ditegur tidak pergi sekolah, Siti Dhia ke rumah rakan di luar kawasan perumahannya di perumahan awam Sri Selangor.

"Siti Dhia keluar rumah tanpa membawa telefon bimbitnya, saya syak dia ke rumah kawannya di luar kawasan perumahan kami ini," katanya kepada Sinar Harian.

Syarifah berkata, anaknya itu dipercayai keluar rumah tanpa memakai tudung.

Disebabkan itu katanya, orang ramai mungkin tidak perasan Siti Dhia kerana gambar anaknya yang disebarkan memakai tudung.

"Saya syak Siti Dhia memakai jaket petak-petak berwarna hitam putih semasa keluar dari rumah pada hari kejadian.

"Diharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat dapat membantu saya dan pihak polis untuk mengesan Siti Dhia dengan segera.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang banyak menolong mencari Siti Dhia dan memberi kata-kata semangat kepada kami sekeluarga," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!