Kes cabul OKU: Polis rekod keterangan 12 pelajar

Laporan Sinar Harian pada Sabtu lalu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu lalu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis telah merekodkan keterangan 12 pelajar bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul melibatkan 14 pelajar lelaki golongan orang kurang upaya (OKU) di asrama sebuah sekolah menengah di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya akan merekodkan keterangan beberapa lagi individu termasuk guru dan petugas di asrama sekolah itu bagi membantu siasatan.

"Kami sedang melengkapkan kertas siasatan itu, kemungkinan dalam minggu ini boleh disiapkan sebelum dihantar kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian cabul membabitkan suspek pelajar Tingkatan Satu yang juga OKU itu berlaku sejak Oktober lepas dan 14 mangsa itu bertindak memaklumkan perkara tersebut kepada guru sekolah.

"Mangsa-mangsa mendakwa suspek akan mencabul tanpa mengira masa iaitu bila ada peluang dia akan buat (cabul).

"Mereka (mangsa-mangsa) menjadi trauma dan tidak tahan dengan tindakan suspek dan bertindak mengadu kepada guru sebelum pengetua membuat laporan polis," katanya.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang pelajar Tingkatan Satu bagi membantu siasatan berhubung kejadian mencabul 14 pelajar lelaki OKU di asrama sebuah sekolah menengah di sini, Jumaat lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: