Gajah dilanggar Porsche Cayenne berjaya ditangkap

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seekor gajah betina yang dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan sebelum ia melarikan ke dalam hutan di Kampung Kolam, Setiu di sini malam tadi berjaya ditangkap pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Husin berkata, gajah itu ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Besut di sekitar Telaga Papan, Setiu pada kira-kira 1 tengah hari tadi.

"Haiwan liar itu ditangkap di kawasan kebun kelapa sawit berdekatan sebuah kampung iaitu kira-kira 20 kilometer (km) dari lokasi berlakunya kemalangan.

"Selepas ini gajah tersebut akan dihantar ke kawasan hutan simpan sama ada di Gerik, Perak atau Hulu Terengganu untuk dilepaskan semula jauh dari penempatan manusia," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Terdahulu Bernama melaporkan Sharul Azma Che Samaon, 42, terselamat selepas kenderaan jenis Porsche Cayenne dipandunya terlanggar seekor gajah sesat yang berada di tengah jalan di KM 45, Kampung Kolam di Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, malam tadi.

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kenderaan dipandunya rosak di beberapa bahagian hadapan antaranya cermin retak, bampar dan lampu pecah selain kemek pada bonet dan ‘fender’.

Gajah tersebut yang sebelum itu dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan pada 6.30 petang, dilaporkan cedera di bahagian kaki sebelum melarikan diri dengan masuk ke kawasan hutan kira-kira 10 minit selepas perlanggaran itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: