Lelaki pandu Porsche Cayenne langgar gajah

Keadaan gajah liar yang dipercayai cedera selepas dirempuh sebuah SUV di Setiu pada malam Jumaat.
Keadaan gajah liar yang dipercayai cedera selepas dirempuh sebuah SUV di Setiu pada malam Jumaat.
A
A
A

SETIU - [DIKEMAS KINI] Seekor gajah liar cedera setelah dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Kilometer 45, Kampung Kolam, Jalan Kuala Terengganu - Kampung Raja di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 10.15 malam apabila SUV jenis Porsche Cayenne dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari Rhu 10 menuju ke Lembah Bidong.

Menurutnya, kenderaan itu yang dipandu seorang pengurus syarikat, Sharul Azma Che Samaon, 42, dikatakan tidak sempat mengelak menyebabkan ia terlanggar haiwan terbabit.

Keadaan SUV yang dipandu seorang lelaki selepas terlanggar seekor gajah liar di Setiu pada Jumaat.
Keadaan SUV yang dipandu seorang lelaki selepas terlanggar seekor gajah liar di Setiu pada Jumaat.

"Akibat rempuhan itu, haiwan tersebut dipercayai cedera pada bahagian kaki dan jatuh di tempat kejadian.

"Pemandu kenderaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan dipandu remuk pada bahagian hadapan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

SUV jenis Porsche Cayenne mengalami kerosakan pada bahagian hadapan setelah terlanggar seekor gajah liar.
SUV jenis Porsche Cayenne mengalami kerosakan pada bahagian hadapan setelah terlanggar seekor gajah liar.

Afandi berkata, mamalia itu bagaimanpun telah bangun dan melarikan diri ke dalam hutan berdekatan kira-kira 10 minit selepas kemalangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Afandi berkata, gajah berkenaan telah dilihat berkeliaran di sekitar kawasan itu sekitar jam 6.30 petang sebelum berlaku kemalangan.

Katanya, usaha mengesan gajah berkenaan kini sedang giat dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Kemalangan melibatkan seekor gajah itu mula tular di media sosial sejak malam Jumaat selepas beberapa pengguna memuat naik rakaman kejadian di laman sosial masing-masing.

Insiden itu mendapat perhatian kerana ia disifatkan pertama kali berlaku di laluan Kuala Terengganu - Besut yang biasanya hanya melibatkan kemalangan terlanggar haiwan seperti kuda, kambing dan lembu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28