All England: Hanya Aaron-Wooi Yik mara, Zii Jia kandas

Aaron-Wooi Yik menjadi satu-satunya wakil negara yang masih meneruskan cabaran dalam Kejohanan Badminton All England 2024 apabila mara ke separuh akhir pada Jumaat. Foto Facebook BAM
Aaron-Wooi Yik menjadi satu-satunya wakil negara yang masih meneruskan cabaran dalam Kejohanan Badminton All England 2024 apabila mara ke separuh akhir pada Jumaat. Foto Facebook BAM
A
A
A

BEREGU utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi satu-satunya wakil negara yang masih meneruskan cabaran dalam Kejohanan Badminton All England 2024 apabila mara ke separuh akhir pada Jumaat.

Juara Dunia 2022 itu mempamerkan permainan cemerlang untuk menundukkan pasangan Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana, 21-14, 21-11 dalam masa 31 minit pada suku akhir kejohanan badminton tertua di dunia itu di Utilita Arena Birmingham.

Kemenangan itu menyaksikan pasangan pilihan kelima tersebut mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas Muhammad Shohibul-Bagas 5-0.

Menanti Aaron-Wooi Yik di separuh akhir pasangan Taiwan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan yang menyingkirkan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand, 21-13, 21-17.

Sementara itu pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia ditunjukkan jalan pulang apabila tewas kepada Lakshya Sen dari India.

Pada pertembungan itu Zii Jia mensia-siakan kemenangan set pertama 22-20, sebelum tewas pada set seterusnya 16-21, 19-21 kepada lawan.

Mengiringi 'pulang' pemain berusia 25 tahun itu satu lagi wakil Malaysia iaitu beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah yang turut kandas pada suku akhir semalam.

Pearly-Thinaah tewas dalam set penentuan kepada Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dari Jepun, 21-11, 18-21, 18-21. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28