Nelayan asing dicekup tangkap ikan

Antara warga asing yang ditahan dalam Op Gelora di Perairan Pulau Sembilan kelmarin.
Antara warga asing yang ditahan dalam Op Gelora di Perairan Pulau Sembilan kelmarin.
A
A
A

KLANG - Keasyikan nelayan warga asing menangkap hasil laut di Perairan Pulau Sembilan terbantut selepas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 menerusi Op Gelora kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria berkata, seramai enam warga Myanmar membabitkan dua tekong dan empat awak-awak berjaya diberkas dalam dua operasi berasingan bermula jam 6.45 petang.

"Tangkapan pertama berjaya selepas kita mengesan sebuah bot tunda yang berada dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan empat warga Myanmar.

"Susulan itu, operasi seterusnya turut mengesan dan menahan sebuah lagi bot tunda yang dikendalikan dua warga Myanmar," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di kedua-dua bot terbabit telah bertindak merampas pelbagai jenis ikan seberat kira-kira 200 kilogram (kg) bernilai RM4,000.

Katanya, semakan mendapati antara kesalahan utama yang dikesan adalah melanggar syarat lesen iaitu menggunakan pekerja asing tanpa kebenaran bertulis daripada pengarah perikanan.

"Dipercayai warga asing ini telah aktif hampir setahun dengan digajikan oleh pengusaha tempatan sebelum hasil ikan dijual kepada peraih.

"Kes tersebut telah diserah kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan untuk tindakan mengikut Akta Perikanan 1985," katanya.

Artikel Berkaitan: