Peniaga jadi mangsa Macau Scam rugi RM12,177.65

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga di daerah ini mengalami kerugian RM12,177.65 selepas diperdaya sindiket Macau Scam dengan mendakwa kad kreditnya digunakan individu lain untuk urus niaga jual beli dadah, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali berkata, kejadian bermula apabila lelaki berusia 35 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek memaklumkan mengenai tunggakan kad kredit berjumlah RM5,000.

"Mangsa menafikan sekeras-kerasnya sebelum talian itu disambungkan kepada seorang lagi suspek kononnya inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

"Suspek memaklumkan kad kredit mangsa dikesan digunakan oleh individu untuk melakukan urusan jual beli dadah dan tindakan undang-undang akan diambil bila-bila masa sahaja, sekiranya mangsa tidak menjelaskan tunggakan.

"Bagaimanapun dalam masa sama, suspek memberitahu, dia boleh membantu menyelesaikan secara baik tetapi meletakkan syarat iaitu mangsa perlu memasukkan RM12,177.65 ke akaun bank diberikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hamdan berkata, mangsa yang berasa takut terus bersetuju sebelum membuat tiga kali transaksi wang ke dalam akaun bank diberikan pada hari sama selepas panggilan diterima.

"Selesai membuat transaksi wang seperti diminta, mangsa menghubungi pihak bank berkenaan untuk kemas kini pembayaran tersebut tetapi mangsa diberitahu yang dia tidak mempunyai sebarang tunggakan bayaran sebelum ini," katanya.

Jelas Hamdan, terkedu mendengar penjelasan pihak bank, mangsa berasa ditipu kemudian ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan: