Pasukan khas ESSCOM rampas RM4.13 juta rokok seludup, tembakau

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos. Foto Bernama
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos. Foto Bernama
A
A
A

LAHAD DATU - Pasukan Khas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) merampas pelbagai jenis rokok seludup termasuk tembakau bernilai RM4.13 juta dalam serbuan di sebuah bangunan dua tingkat, di Jalan Tamoi Baru di sini semalam.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, sebanyak 3,178,120 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama seperti Astro Merah, Astro Hijau, Samson Mild, Samson Menthol, Era Premium serta Era Black dirampas, selain 400 bungkusan kecil tembakau salak.

"Kesemua barang rampasan bernilai RM4,137,474 itu disembunyikan di dalam kotak serta plastik di dalam bangunan itu," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Victor berkata, hasil maklumat awam, Pasukan Khas ESSCOM bertindak pantas memeriksa dan menyerbu lokasi berkenaan.

"ESSCOM akan terus memperhebat operasi khas seperti ini bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam khususnya di pantai timur Sabah.

"ESSCOM akan memperhebat koordinasi operasi bersepadu bersama-sama pasukan keselamatan yang lain serta komited membantu pelbagai Agensi Penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri dalam membanteras elemen jenayah rentas sempadan antaranya aktiviti rompakan laut dan penyeludupan kontraban," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang maklumat jenayah ke Pusat Operasi ESSCOM dengan menghubungi talian 089-883181 atau melalui aplikasi WhatsApp menerusi talian 011-63311072. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: