Henti polemik larangan masuk sekolah - Exco Kedah

Haim Hilman (kanan) dan Saduruddin menyantuni anak yatim dan asnaf yang diberi peluang memilih baju dan kelengkapan hari raya di Mydin Taman Batik Sungai Petani Kedah pada Jumaat.
Haim Hilman (kanan) dan Saduruddin menyantuni anak yatim dan asnaf yang diberi peluang memilih baju dan kelengkapan hari raya di Mydin Taman Batik Sungai Petani Kedah pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polemik terhadap larangan mana-mana ahli politik pembangkang mengikuti program membabitkan pihak sekolah diharap dapat dihentikan segera.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, jika polemik itu berpanjangan, ia boleh merugikan masa depan dan pembinaan negara bangsa.

"Bukan saya nak salah-menyalahkan tetapi apa yang nak saya katakan, marilah kerajaan Pusat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya menteri melihat ke hadapan bagaimana kepakaran yang ada merentasi fahaman politik contohnya dapat dimanfaatkan oleh anak bangsa.

"Ini lebih penting dengan tidak mencampuradukkan antara politik dan pendidikan.

"Kita harus mempunyai jiwa besar dan jangan jadi ahli politik sepanjang masa sebaliknya perlu sama-sama membangunkan negara dan anak bangsa," katanya.

Antara penerima terdiri daripada anak yatim dan asnaf yang diberi peluang memilih baju dan kelengkapan hari raya di Mydin Taman Batik Sungai Petani Kedah.
Antara penerima terdiri daripada anak yatim dan asnaf yang diberi peluang memilih baju dan kelengkapan hari raya di Mydin Taman Batik Sungai Petani Kedah.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Iftar Ramadan Perdana dan Penyampaian sumbangan bersama anak yatim dan asnaf di Mydin Taman Batik di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara, Datuk Dr Saduruddin Gulam Husen dan Pengarah Eksekutif Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau menafikan dakwaan mengatakan tidak mematuhi garis panduan ditetapkan menyebabkannya dilarang menghadiri atau merasmikan program yang dianjurkan pihak sekolah memandangkan hanya hadir sebagai tetamu jemputan.

Sebelum ini, Haim Hilman mendakwa, pengetua sebuah sekolah di Kedah telah diarahkan menghantar surat tunjuk sebab oleh kerana menjemput beliau ke program tersebut manakala pelajar-pelajar tidak dibenarkan hadir ke sebuah program lain anjuran sebuah syarikat atas alasan sama.

Beliau menambah, kehadiran beliau sebagai Exco adalah mewakili kerajaan negeri, bertujuan sekadar berkongsi pengalaman dan motivasi atas kepakaran beliau yang lebih 20 tahun dalam dunia pendidikan, bukan ingin bercakap soal politik.

Dalam perkembangan berlainan, seramai 63 anak yatim dan asnaf diberi peluang memilih baju raya dan berbuka puasa dengan pelbagai juadah disediakan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28