Empat negeri mahu bas pelancong Thailand dibenar masuk sempadan negara

Empat negeri bersempadan dengan Thailand iaitu Kedah, Perak, Perlis dan Kelantan akan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengangkutan agar membenarkan bas pelancong negara jiran itu masuk ke negeri-negeri berkenaan. Gambar kecil: Kamarudin
Empat negeri bersempadan dengan Thailand iaitu Kedah, Perak, Perlis dan Kelantan akan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengangkutan agar membenarkan bas pelancong negara jiran itu masuk ke negeri-negeri berkenaan. Gambar kecil: Kamarudin
A
A
A

KOTA BHARU - Empat negeri bersempadan dengan Thailand iaitu Kedah, Perak, Perlis dan Kelantan akan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) agar membenarkan bas pelancong negara jiran itu masuk ke negeri-negeri berkenaan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, langkah itu bertujuan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan merancakkan lagi ekonomi di negeri-negeri sempadan.

Menurutnya, beliau menerima maklumat daripada agensi pelancongan di negara jiran tersebut yang berdepan masalah peraturan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkait larangan terhadap bas pelancong luar.

“Mereka nak datang melancong ke Kelantan tetapi bas tak boleh masuk ke sini kerana larangan terhadap bas pelancong luar.

“Larangan pada asalnya untuk memberi peluang kepada pengusaha bas tempatan tetapi bas kita sendiri tidak mencukupi, jadi kami bersepakat untuk membuat rayuan kepada APAD bagi memberi kelonggaran bas pelancong untuk masuk ke negeri-negeri berjiran dengan Thailand,” katanya kepada pemberita.

Laluan kenderaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang.
Laluan kenderaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Jamuan Berbuka Puasa Bersama Media di Perdana Kota Bharu, di sini pada Khamis.

Tambahnya, keempat-empat negeri tersebut akan membuat perjumpaan dan pembentangan kepada pihak MOT berkait rayuan itu dalam tempoh terdekat.

Artikel Berkaitan:

“Kami masih lagi menunggu tarikh untuk mengadakan pertemuan itu.

“Usaha ini penting kerana saya percaya pelancongan di Kelantan khususnya boleh meningkat 100 peratus jika bas pelancong dibenarkan masuk ke negeri-negeri sempadan,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarudin memberitahu, pihak kerajaan negeri itu juga dalam perancangan untuk menjadi Kelantan sebagai destinasi pilihan utama pelancong dan bukan sekadar transit sebelum mereka ke Hatyai, Thailand.

“Kita menerima maklumat terdapat pelancong Thailand yang datang melancong dan membeli-belah di beberapa pasar raya yang ada di tempat kita.

“Ramai juga orang kita yang melancong ke Thailand tetapi kita mahu mereka ini tinggal atau melancong lebih lama di Kelantan sebelum pergi ke Thailand,” katanya.

Kerajaan Kelantan sebelum itu menyasarkan kedatangan 10 juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024) dan dijangka akan dicapai menerusi lebih 30 program yang sudah disusun dalam kalendar TMK2024.