Sabar, ikhlas ketika tuntut ilmu

Ikuti adab dan anjuran yang diajar Islam dalam menggali pengetahuan

ILMU dan kefahaman datang dengan kesabaran serta keikhlasan yang tinggi. -Foto: 123rf
ILMU dan kefahaman datang dengan kesabaran serta keikhlasan yang tinggi. -Foto: 123rf
A
A
A

SELAIN Ramadan, ramai yang membuat hantaran berkaitan momen-momen anak kembali ke sekolah bagi sesi 2024/2025 di media sosial.

Boleh dikatakan, garis masa platform tersebut dipenuhi dengan kisah-kisah berkenaan pada minggu ini.

Di sebalik kerancakan kita mengemas kini status akaun media sosial masing-masing, ada suatu perkara yang perlu dititikberatkan.

Dunia pada hari ini yang bersifat terbuka menuntut cabaran tinggi buat para pelajar, guru mahupun ibu pada untuk merentasinya.

Disebabkan itu, khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) pada Jumaat lalu memberi peringatan bahawa dengan ilmu sahajalah yang dapat menyokong dan memberi kefahaman untuk kita mendepani cabaran itu tanpa meninggalkan syariat, akhlak mahupun adab Islam.

“Bahkan, pengetahuan sebenarnya mengukuhkan lagi amalan dan pengamalan sebagai seorang hamba ALLAH SWT yang baik serta memahami tuntutan syariat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi khutbah Jumaat bertajuk ‘Kembali Merindu’.

Mimbar mengajak kita untuk menyelami hadis yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang ALLAH kehendaki padanya kebaikan, maka ALLAH akan memberinya kefahaman di dalam agama.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Artikel Berkaitan:

PARA pelajar mestilah menjaga adab dan akhlak sebagai seorang yang menuntut ilmu apabila gurunya sedang mengajar dan menekuni setiap bicara serta bimbingan diberikan supaya mudah memahami setiap inci pengetahuan yang dititipkan. -Foto: 123rf
PARA pelajar mestilah menjaga adab dan akhlak sebagai seorang yang menuntut ilmu apabila gurunya sedang mengajar dan menekuni setiap bicara serta bimbingan diberikan supaya mudah memahami setiap inci pengetahuan yang dititipkan. -Foto: 123rf

Sesungguhnya, tiada jalan pintas untuk kita menggali ilmu. Pelbagai ranjau yang terpaksa diharungi demi menggapainya.

Tidak kiralah belajar di peringat rendah, menengah ataupun tinggi, JHEAIK mengingatkan agar kita menuntut ilmu dengan kesabaran dan keikhlasan tinggi.

“Mengertilah, ilmu dan kefahaman itu datang dengan kesabaran serta keikhlasan yang tinggi.

“Bersabarlah dalam usaha mencarinya dan tidak berputus asa untuk menerima kefahaman ilmu walaupun mungkin panjang masanya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi khutbah Jumaat JHEAIK yang disiarkan di laman web rasmi jabatan itu.

Contohi Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani

JHEAIK kemudian memberikan contoh kisah ulama tersohor, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani yang begitu sabar dalam menekuni pengetahuan.

Walaupun mempunyai semangat dan bercita-cita tinggi dalam dunia keilmuan, ada satu kekangan yang dihadapi oleh beliau.

Ulama itu sebenarnya lemah dalam menghafal dan memahami setiap pengajaran yang diberikan oleh gurunya. Kekurangan itu membuatkan dirinya ketinggalan berbanding dengan teman seperguruannya yang lain.

“Akhirnya, beliau meminta izin daripada gurunya untuk pulang setelah melalui tempoh yang lama. Dalam perjalanan balik itu, ALLAH mentakdirkan hujan turun dengan lebat menyebabkan beliau terpaksa berteduh di dalam sebuah gua.

“Tatkala melihat titisan hujan jatuh di atas batu, beliau nampak ada kesan lekukan ‘lubang’ yang berbekas. Beliau kemudian merenungi fenomena itu dan berfikir bahawa otak dan fikirannya tentu tidak sekeras batu tersebut.

“Sedangkan batu besar yang keras boleh ‘berlubang’ oleh titisan air lembut, maka tak mungkinlah ilmu yang menerpa otak tidak akan membekas dalam fikiran,” katanya.

Berkat kesabaran dan kesungguhannya, nama Imam Ibnu Hajar kini dikenali sebagai ulama yang hebat dan khazanah ilmunya menjadi rujukan ummah.

Tinggalkan maksiat

Kepada para penuntut ilmu, sebaiknya tinggalkanlah maksiat untuk mendaoatkan keberkatan.

Imam Ibnu Qayyim Rahimahullah pernah berkata: “Dan antara hukuman daripada perbuatan maksiat itu, ia akan menghilangkan keberkatan rezeki, ilmu, amal dan ketaatan.”

Ujar JHEAIK, maksiat juga menghilangkan rasa malu, menjadikan hati gelap, melemahkan perjalanan hati menuju kepada ALLAH SWT dan menyebabkan seseorang itu mengabaikan diri sendiri yang mana semuanya melenyapkan keberkatan.

KEPADA mereka yang menuntut ilmu, tinggalkanlah maksiat kerana ia akan melenyapkan keberkatan ilmu seseorang. -Foto: Freepik
KEPADA mereka yang menuntut ilmu, tinggalkanlah maksiat kerana ia akan melenyapkan keberkatan ilmu seseorang. -Foto: Freepik

“Sebaliknya, para pelajar mestilah menjaga adab dan akhlak sebagai seorang penuntut ilmu apabila gurunya sedang mengajar dan menekuni setiap bicara serta bimbingan diberikan supaya mudah memahami setiap pengetahuan yang dititipkan.

“Ketahuilah bahawa adab dengan guru itu mahal nilainya. Di situlah seorang pelajar dapat dinilai akhlak dan adabnya, apakah dia seorang yang memiliki kemuliaan akhlak dan kesopanan yang baik terhadap ibu bapa dan guru? Inilah nilai darjat tinggi seorang yang berilmu,” ungkapnya.

Bagi ibu bapa pula, ambil beratlah terhadap pelajaran anak-anak. Ia termasuklah memberi sokongan pelajaran kepada mereka.

“Tanpa dukungan itu, anak-anak akan berasa keseorangan dan boleh mematahkan semangat untuk belajar. Ibu bapa juga mesti memberikan sokongan moral kepada minat anak-anak yang berfaedah.

“Di samping itu, bertanggungjawablah dalam melunaskan sumbangan yuran diperlukan untuk meneruskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran kerana ada segelintir ibu bapa yang mengambil sikap acuh dan tidak acuh dalam hal itu hingga mengambil hak orang lain.

“Seperkara lagi, berpesanlah kepada anak masing-masing dengan nasihat yang santun lagi baik, mengingatkan mereka tentang akhirat dan keutamaan ibadah,” ungkapnya.

Buat para pendidik atau insan yang bergelar guru, ikhlaskanlah niat semata-mata kerana ALLAH dalam mengajar dan mendidik anak-anak murid, pelajar mahupun siswa.

“Semailah mereka dengan ilmu yang diredai oleh ALLAH SWT, nasihat dan perbaiki akhlak mereka ketika bersama. Pada masa sama, tonjolkanlah akhlak yang baik sebagaimana akhlak Islam dan menanggapi segala bentuk kenakalan mereka dengan tindakan berhikmah,” katanya sambil mengingatkan ilmu juga begitu signifikan dalam mendepani bulan Ramadan.

*Teks khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan diterbitkan melalui laman web rasmi jabatan berkenaan