Pelanggan kecewa pulut lepa masam, berlendir

Seorang lelaki berkongsikan gambar kuih pulut lepa dibeli di sebuah bazar Ramadan yang didakwa masam dan berlendir. Foto Ahmad Zafran Zalil
Seorang lelaki berkongsikan gambar kuih pulut lepa dibeli di sebuah bazar Ramadan yang didakwa masam dan berlendir. Foto Ahmad Zafran Zalil
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki meluahkan rasa kecewa selepas mendapati kuih pulut lepa atau pulut panggang berinti ikan yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di sini masam dan berlendir.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran dimuat naik oleh Ahmad Zafran Zalil di grup media sosial ketika memasuki hari kedua berpuasa pada Rabu lalu.

"Bazar Ramadan baru sahaja masuk hari kedua dan hari ini saya berasa kecewa dengan sikap sesetengah peniaga.

"Bab makanan buat mudah sahaja... kualiti macam main campak-campak asalkan ada untung dan tak nak rugi sikit.

"Mengenai harga, saya bukan jenis berkira asalkan makan sedap di mulut. Beli lima batang (pulut lepa) berharga RM5.

"Nak makan lepas berbuka, buka pulut tengok sudah berlendir. Cuba rasa isi masam dan hanya satu sahaja (pulut lepa) berada dalam keadaan baik dan tidak berlendir," katanya di Facebook pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zafran meminta peniaga di bazar supaya berniaga dengan tulus serta tidak menipu dengan menjual makanan yang tidak berkualiti kepada pelanggan.

"Ini sudah menganiaya pelanggan dengan menjual makanan sebegini.

Artikel Berkaitan:

"Itu belum sebut lagi pasal uli tepung depan orang ramai tanpa pakai sarung tangan," ujarnya.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati orang ramai memberikan pelbagai reaksi terhadap hantaran tersebut

Malah ada antaranya meminta agar lelaki berkenaan membuat laporan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

"Buat laporan ke jabatan kesihatan. Kalau ingat gerai mana lagi baik dan boleh memberi maklum balas melalui QR Code dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang saya kongsikan ini," tulis CheGhani FT di ruangan komen.

"Memang peniaga fikir nak untung sahaja, tak boleh rugi sikit asalkan jual makanan basi pada orang ramai.

"Setiap tahun ada peniaga perangai macam ini dan hanya fikir untung. Kalau buat laporan mula lah peniaga tersebut buat drama air mata," kata Riez Zal Caffee's.

"Bab kuih-muih ini saya cadangkan beli di gerai kuih di Gong Kapas. Insya-ALLAH bersih dan makanan sedap belaka.

"Soal bazar ini tak berani jamin sebab dua tiga kali pergi sebelum ini selalu dapat beli kuih busuk," ujar Man Runner Terengganu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28