Pendekatan KPM mudahkan urusan banyak pihak

Pada minggu pertama persekolahan, murid atau pelajar tidak perlu tergesa-gesa untuk membuka buku untuk belajar sepertimana tahun-tahun sebelum ini. Gambar hiasan.
Pada minggu pertama persekolahan, murid atau pelajar tidak perlu tergesa-gesa untuk membuka buku untuk belajar sepertimana tahun-tahun sebelum ini. Gambar hiasan.
A
A
A

BEBERAPA pendekatan yang dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat kecil bagi sesetengah pihak tetapi sebenarnya memberikan impak yang besar kepada ibu bapa, murid dan guru.

Pada sesi persekolahan yang bermula minggu ini, ramai mengakui keputusan yang telah dibuat KPM banyak memberikan kemudahan kepada mereka.

Contohnya pada minggu pertama, murid atau pelajar tidak perlu tergesa-gesa untuk membuka buku untuk belajar sepertimana tahun-tahun sebelum ini.

Sebaliknya sekolah menekankan kepada program-program yang menjurus kepada aspek pembinaan akhlak murid seiring slogan ABC (Anak yang Baik lagi Cerdik).

Murid pula dilihat lebih seronok untuk ke sekolah kerana suasana yang lebih mesra ditonjolkan pihak sekolah.

Penetapan pakaian seragam yang bergilir dengan pakaian sukan juga meringankan beban ibu bapa kerana tidak perlu membeli seragam berpasang-pasang.

Jika tidak, ibu bapa terpaksa bertungkus-lumus untuk menyediakan seragam baju putih agar anak-anak tidak kelihatan comot di sekolah.

Pemakaian baju sukan pada hari tertentu juga memberi keselesaan kepada murid terutama sewaktu cuaca ekstrem ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Terkini, KPM menggalakkan sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia untuk melanggan akhbar utama berbahasa Melayu iaitu Sinar Harian, Berita Harian dan Utusan Malaysia.Galakan tersebut tepat pada masanya kerana ia adalah antara langkah terbaik untuk memperkasakan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid dengan membudayakan amalan membaca akhbar di sekolah.

Ia sedikit sebanyak dapat mendidik murid supaya dapat menggunakan bahasa Kebangsaan dengan betul dalam komunikasi mereka.

Diharap tiada lagi penggunaan perkataan 9ti (nanti) owang (orang), korunk (kamu) dan banyak lagi perkataan-perkataan pelik yang merosakkan bahasa kita.

Kesimpulannya, diharap KPM terus istiqamah dalam membuat keputusan yang baik untuk masa depan pendidikan negara tetapi pada masa sama memberi kelegaan kepada ibu bapa.

Paling penting, jangan ada mana-mana pihak menjadikan pendidikan sebagai senjata politik kerana kesan negatifnya kepada anak-anak yang naif.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28