Bank Rakyat perkenal Kad Kredit-i khusus untuk PDRM

Mohammad Hanis (tiga dari kanan) bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada Majlis Pelancaran Kad Kredit-i Bank Rakyat Edisi Khas PDRM yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.
Mohammad Hanis (tiga dari kanan) bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada Majlis Pelancaran Kad Kredit-i Bank Rakyat Edisi Khas PDRM yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

BANK Rakyat memperkenalkan Kad Kredit-i khusus buat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai simbolik keprihatinannya terhadap peranan, jasa dan khidmat bakti perwira negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, inisiatif itu sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat untuk beralih kepada transaksi tanpa tunai bagi memenuhi keperluan gaya hidup yang semakin digital dan ringkas menerusi penggunaan e-pembayaran melalui kad kredit.

Beliau berkata, selain mempunyai reka bentuk yang menarik dan moden, Kad Kredit-i ini turut menawarkan pelbagai faedah eksklusif dan ciri utama khas untuk memenuhi keperluan kewangan dan memberi manfaat kepada anggota PDRM.

“Caj perkhidmatan pengeluaran tunai istimewa sebanyak 1.5 peratus atau fi minimum RM15 yang mana lebih tinggi di mesin juruwang automatik (ATM) dan kaunter Bank Rakyat berbanding dengan kadar semasa sebanyak tiga peratus atau minimum RM20 untuk pengeluaran wang tunai.

“Kadar keuntungan serendah lapan peratus setahun untuk tiga tahun pertama, di samping pelan bayaran ansuran sebanyak kosong peratus tanpa sebarang caj dikenakan,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Kad Kredit-i Bank Rakyat Edisi Khas PDRM yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata, ciri-ciri lain termasuklah tiada yuran tahunan, tiada caj tambahan bagi transaksi luar negara yang melibatkan pertukaran wang asing, perlindungan takaful keluarga secara percuma serta khairat kematian sebanyak RM1,000.

“Anggota PDRM yang melanggan Kad Kredit-i khas ini berpeluang untuk menyertai kempen ‘Raya Bergaya Bersama Jakel’ yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 bersempena bulan Ramadan dan Syawal pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata, anggota PDRM juga berpeluang menikmati penjimatan sebanyak lima peratus bagi pembelian petrol dan diesel pada setiap hari Khamis di mana-mana stesen minyak seluruh negara menerusi kempen ‘Petrol Khamis!’ yang akan bermula dari 14 Mac hingga 31 Disember 2024.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap agar pelancaran Kad Kredit-i Edisi Khas ini dapat memanfaatkan anggota PDRM dalam memenuhi keperluan kewangan mereka, sekali gus membantu merancakkan ekonomi digital negara sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat,” kata Mohammad Hanis.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28