Bersih rumah berusia 200 tahun

Rumah berusia 200 tahun ini didiami pasangan suami isteri di Kampung Sering.
Rumah berusia 200 tahun ini didiami pasangan suami isteri di Kampung Sering.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 50 ahli Persatuan Pencinta Busana Melayu Kelantan bergotong-royong membersihkan rumah warisan berusia 200 tahun pasangan warga emas di Kampung Sering di sini.

Penasihatnya, Mohamad Salleh berkata, pihaknya mengambil inisiatif tersebut bagi membantu Koet Siew Ling, 72, dan suaminya, Chan Awang, 71, bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

"Seawal jam 8 pagi, ahli persatuan bergotong-royong dengan mengenakan pakaian tradisional Melayu dan memakai semutar dan berkebaya," katanya ketika ditemui di sini.

Mohamad berkata, tanpa mengira bangsa dan kaum pihaknya akan turun padang untuk sama-sama memberi kegembiraan kepada mereka yang bakal meraikan Tahun Baru Cina dua minggu lagi.

“Selain itu, inisiatif ini juga merupakan satu usaha dilakukan untuk memulihara warisan yang ada di negeri ini. Rumah ini sangat unik dan sudah berusia 200 tahun. Kita patut hargainya.

“Kita juga memakai semutar untuk menonjolkan identiti Melayu di samping usaha untuk memberitahu kepada masyarakat yang semutar ini bukan sahaja dipakai untuk program di kampung-kampung tetapi sesuai di mana sahaja tanpa mengira kaum,” katanya.

Gotong-royong berkenaan turut dijayakan oleh NGO We Care Tumpat, Geng Berbasikal, Persatuan Pelukis Kelantan dan Persatuan Pemandu Pelancong Kelantan.

Ahli Persatuan Pencinta Busana Melayu Kelantan yang bekerjasama membersihkan rumah didiami Siew Ling untuk sambutan Tahun Baru Cina.
Ahli Persatuan Pencinta Busana Melayu Kelantan yang bekerjasama membersihkan rumah didiami Siew Ling untuk sambutan Tahun Baru Cina.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Siew Ling berkata, dia sangat gembira apabila rakyat tanpa mengira agama dapat berkumpul dan melakukan perkara seperti itu.

“Sambutan Tahun Baharu kali ini lebih bermakna buat kami meskipun tidak dapat mengumpulkan kesemua dua anak dan lima cucu kami.

“Syukur ada yang sudi datang menghias rumah dan membersihkan halaman. Buat masa ini, anak saya bekerja Melbourne dan Pulau Pinang. Suami pula sedang sakit buah pinggang kronik. Jadi ini dapat meringankan kerja saya membersih rumah sempena perayaan,” katanya.

Berkongsi mengenai keunikan rumah tersebut, Siew Ling berkata, dia dan suaminya merupakan generasi keempat mendiami rumah terbabit.

“Sebelum tahun 1971, dinding rumah ini diperbuat daripada buluh dan selepas itu ia ditukar kepada kayu memandangkan sudah mereput dan juga untuk keselamatan kami anak-beranak.

“Disebabkan keunikannya, terdapat juga penuntut universiti yang datang membuat kajian mengenai rumah ini. Ini sangat membanggakan saya kerana dapat sama-sama membantu pengajian mereka,” katanya.