Bank Muamalat tawar pembiayaan peribadi patuh syariah Cash-i FSA 2

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

BANK Muamalat Malaysia Bhd menawarkan pembiayaan peribadi patuh Syariah, Cash-i Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), bagi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berkelayakan bermula 16 Mac, 2024.

Bank tersebut dalam satu kenyataan hari ini berkata, fasiliti kewangan tersebut yang bertujuan membantu golongan terkesan keluar dari beban kewangan akan dikenakan kadar keuntungan sebanyak 4.75 peratus pada kadar tetap tahunan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat cakna dengan keadaan ekonomi isi rumah yang tidak menentu dan bersedia membantu mengurangkan beban mereka untuk membina kehidupan yang lebih baik.

"Dengan meningkatkan keupayaan dan akses kewangan melalui penyediaan perkhidmatan yang berkesan, Bank Muamalat bukan sahaja membantu masyarakat mendapatkan pembiayaan, tetapi turut merancakkan pasaran yang akan memenuhi permintaan isi rumah,” katanya.

Pembiayaan peribadi Cash-i FSA2 dibuka kepada semua pencarum KWSP yang berkelayakan berusia antara 40 hingga 53 tahun dengan pendapatan kasar minimum sebanyak RM2,000 dan baki minimum sebanyak RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.

Bank Muamalat berkata, pemohon yang layak boleh mendapat akses pembiayaan antara RM3,000 hingga RM50,000 bergantung kepada baki Akaun 2 KWSP mereka dengan tempoh bayaran maksimum 10 tahun.

"Bagi memastikan kepuasan perkhidmatan pelanggan dan mengurangkan tempoh proses kelulusan, permohonan untuk pembiayaan peribadi ini boleh dibuat melalui platform dalam talian mesra pengguna, Muamalat Application Platform (MAP),” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: