Malaysia terima sokongan, pengiktirafan mengagumkan di Jerman - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat replika helikopter Airbus pada majlis Mesyuarat Perniagaan One to One pada Selasa. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat replika helikopter Airbus pada majlis Mesyuarat Perniagaan One to One pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

BERLIN - Malaysia menerima sokongan dan pengiktirafan mengagumkan daripada para pemimpin industri dan perniagaan di Jerman dengan pelaburan berpotensi bernilai RM45.4 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan dan pengiktirafan itu turut diterima daripada kalangan pemimpin politik.

"Kita menerima sokongan dan komitmen yang sangat mengagumkan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin politik malah juga perniagaan kepada Malaysia yang secara relatifnya merupakan ekonomi yang lebih kecil, negara lebih kecil,” katanya pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di sini, pada Selasa.

Semalam, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya di Jerman Canselor Olaf Scholz.

Kedua-dua pemimpin itu membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman, terutama kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar, eksport minyak sawit dan kelestarian di samping bertukar pandangan mengenai krisis kemanusiaan di Palestin dan isu global lain yang mempunyai kepentingan bersama.

"Pertukaran pandangan itu amat bersifat berterus-terang, sangat membuahkan hasil dan meluas,” katanya.

Delegasi ke Jerman juga mendapat sokongan hebat daripada kapten-kapten industri.

"Saya diberitahu oleh Tengku (Datuk Seri) Zafrul (Abdul Aziz) bahawa jarang sekali ada pihak yang menerima (kehadiran) barisan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif), kapten industri yang mengagumkan daripada jumlah besar yang datang menemui kita sebahagiannya hadir dalam kumpulan dan ada secara individu, semua pertukaran (pandangan) ini sangat berguna untuk kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pelaburan berpotensi RM45.4 bilion, kestabilan politik penting

Anwar berkata, Malaysia mencatatkan pelaburan berpotensi bernilai RM45.4 bilion semasa lawatan di Jerman.

Pelaburan berpotensi itu hadir daripada pelbagai industri seperti semikonduktor, aeroangkasa, peranti perubatan, kimia dan perkhidmatan.

Beliau berkata, semua itu adalah mungkin dengan disokong oleh kestabilan politik yang dimiliki Malaysia dan kestabilan politik adalah penting bagi kalangan pelabur.

"Rakyat mesti mempunyai keyakinan bahawa kita akan kekal selama bertahun-tahun. Kestabilan politik amat penting untuk kerajaan membawa dasar yang betul bagi membolehkan Malaysia menerima lebih banyak pelaburan,” kata Perdana Menteri.

Terdahulu hari ini, lebih 35 kapten industri dan perniagaan menyertai mesyuarat meja bulat dengan Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Antara yang menghadiri mesyuarat itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Siemens AG Dr Roland Busch, CEO B. Braun GmbH Anna Braun dan CEO Melexis Marc Biron.

Turut hadir Presiden Airbus Asia Pasifik Anand Stanley, Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia Dr Susanne Lehmann dan Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG Dr Rutger Wijburg.

Wakil dari Dewan Perniagaan Jerman, Dewan Perniagaan Malaysia-Jerman, dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW) turut hadir.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman, dan CEO Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Terdapat lebih 700 syarikat Jerman yang berpangkalan di Malaysia, dengan 65,000 pekerjaan diwujudkan.

Jerman menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak 2000, manakala Malaysia adalah rakan dagang terbesar Jerman daripada kalangan negara anggota Asean.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) daripada RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022. -Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!