Ringgit melonjak 10.1 peratus, kadar kenaikan tertinggi Asia

SHAH ALAM - Ringgit Malaysia meningkat sebanyak 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang 2025, sekali gus mencatatkan kadar kenaikan tertinggi dalam kalangan rakan serantau.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pertambahan nilai tersebut mencerminkan persekitaran luaran semakin positif dan prospek ekonomi negara yang kukuh.
Ujar beliau, pada masa sama ringgit turut meningkat antara 1.5 hingga 13.9 peratus berbanding mata wang utama dan serantau yang lain.
“Apabila kita mengambil kira purata berwajaran mata wang rakan perdagangan utama Malaysia, seperti dolar Singapura, renminbi China dan dolar AS, kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER) mencatat peningkatan sebanyak 6.1 peratus sepanjang tempoh tersebut.
“NEER memberikan perspektif yang lebih menyeluruh terhadap prestasi dan nilai ringgit berbanding dengan kadar pertukaran dua hala seperti kadar dolar AS dan Ringgit Malaysia,” katanya dalam kenyataan pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Negara pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Datuk Bobbey Ah Fang Suan mengenai faktor dan dasar ekonomi yang menyumbang kepada pengiktirafan Ringgit Malaysia sebagai antara mata wang terkuat di Asia dengan peningkatan tertinggi berbanding mata wang serantau lain.
Menurut Amir, setakat Selasa, nilai ringgit terus meningkat sebanyak 4.09 peratus kepada 3.89 ringgit berbanding dolar AS.
Kata beliau, dari segi perkembangan global, pengukuhan nilai ringgit turut didorong oleh penurunan kadar faedah di AS dan peralihan jangkaan ke arah persekitaran kadar faedah yang lebih rendah dalam kalangan ekonomi utama dunia.
“Pengukuhan nilai ringgit ini turut disokong oleh sentimen pelabur positif dalam persekitaran perdagangan dunia yang terus berkembang dan pelaburan portfolio serta pelaburan langsung asing yang berterusan.
“Lebih penting, kenaikan nilai ringgit mencerminkan perkembangan domestik yang sihat dan pertumbuhan ekonomi kukuh, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2025 dicatatkan sebanyak 5.2 peratus, lebih tinggi berbanding unjuran asal 4.0 peratus hingga 4.8 peratus,” ujarnya.
Ujarnya, pertumbuhan itu diperkukuh oleh prestasi suku keempat 2025, apabila ekonomi berkembang sebanyak 6.3 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh tiga tahun.
“Pertumbuhan tersebut disokong oleh pengembangan merentas sektor terutamanya sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi.
“Dalam keadaan semasa apabila nilai ringgit mengukuh, eksport kasar negara terus menunjukkan prestasi positif dengan pertumbuhan sebanyak 6.5 peratus bagi tahun 2025.
“Selain itu, eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) kekal kukuh dengan peningkatan sebanyak 18.3 peratus kepada 711.6 bilion ringgit, sekali gus menjadikan E&E kekal sebagai produk eksport utama Malaysia dengan bahagian sebanyak 44.3 peratus,” katanya.
Ringkasan AI
- Ringgit Malaysia meningkat sebanyak 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat sepanjang 2025
- Peningkatan nilai Ringgit mencerminkan persekitaran luaran positif dan prospek ekonomi negara yang kukuh
- Ringgit juga meningkat antara 1.5 hingga 13.9 peratus berbanding mata wang utama dan serantau lain
- Pengukuhan nilai Ringgit didorong oleh penurunan kadar faedah di AS dan persekitaran kadar faedah yang lebih rendah di ekonomi utama dunia
- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2025 dicatatkan sebanyak 5.2 peratus, lebih tinggi dari unjuran asal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

