PM tiba di Berlin untuk lawatan rasmi ke Jerman

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Berlin pada pukul 10.29 malam waktu tempatan (5.29 pagi Malaysia).Hadir menyambut Anwar di lapangan terbang ialah Mohamad. - Foto Pejabat Perdana Menteri
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Berlin pada pukul 10.29 malam waktu tempatan (5.29 pagi Malaysia).Hadir menyambut Anwar di lapangan terbang ialah Mohamad. - Foto Pejabat Perdana Menteri
A
A
A

BERLIN - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara Jermanpada Isnin untuk lawatan rasmi beliau ke negara yang merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah.

Pesawat yang membawa beliau selamat mendarat di Lapangan Terbang Brandenburg di sini pada 10.29 malam Ahad waktu tempatan (5.29 pagi Isnin waktu Malaysia).

Menyambut ketibaan Perdana Menteri di lapangan terbang itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Dr Adina Kamarudin dan pegawai kerajaan Jerman.

Pada Isnin, Anwar dijadual melawat Siemens Energy sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau Canselor Olaf Scholz dan kunjungan hormat ke atas Presiden Frank-Walter Steinmeier.

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan kelestarian selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Semasa lawatan rasmi enam hari itu, yang turut merangkumi kunjungan bandar pelabuhan Hamburg, Anwar akan bertemu kapten-kapten industri dan para pelabur berpotensi seperti Schott AG, Infineon Technologies AG, Melexis dan Airbus serta menghadiri sesi bersama diaspora Malaysia di negara itu.

Turut mengiringi Anwar ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Artikel Berkaitan:

Semasa di Berlin, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Yayasan Korber iaitu sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memfokus kepada isu sosial dan politik serta ucaptama di SME Future Day 2024 anjuran Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (Bundesverband mittelständische Wirtschaft - BVMW).

Di Hamburg, Anwar akan menghadiri Majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101 (Ostasiatisches Liebesmahl) anjuran Persatuan Perniagaan Asia Pasifik Jerman di mana beliau dijadual menyampaikan ucaptama.

Menurut Wisma Putra, lawatan rasmi Perdana Menteri itu dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama pelbagai bidang di antara Putrajaya dan Berlin.

Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28