Isu hak kanak-kanak lahir di luar Malaysia sedang ditangani kerajaan - PM

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

BERLIN - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa memberi jaminan bahawa isu berkaitan hak kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia sedang ditangani oleh kerajaan.

Beliau berkata, Kabinet telah bersetuju untuk membawa usul mengenai pindaan terhadap Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak-hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia ke Parlimen bulan ini.

"Sila ikuti perkembangan di tanah air... soalan anda telah diambil alih oleh peristiwa semasa. Kabinet telah bersetuju untuk membawa perkara itu ke Parlimen bulan ini,” katanya ketika menjawab soalan pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di sini.

Anwar berkata, pindaan terhadap Perlembagaan berhubung perkara itu akan menoktahkan isu tersebut.

"Ketika ini, ibu bapa membawa maksud bapa. Kami akan memindanya supaya ibu bapa bermaksud ibu atau bapa,” kata Perdana Menteri yang kini berada di Jerman dalam rangka lawatan rasmi selama enam hari.

Mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh wakil Global Bersih bahawa kebanyakan rakyat Malaysia di luar negara berdepan kesukaran mengundi pada dua pilihan raya umum lepas, Anwar berkata beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti perkara itu.

"Kita kena mudahkan, antaranya pengundian langsung. Misalnya lebihkan pusat-pusat pengundian, kita ada pejabat MIDA, Matrade," katanya.

Perdana Menteri berkata SPR juga perlu mengkaji langkah mewujudkan pendaftaran secara automatik untuk pengundi Malaysia di luar negara sama seperti yang diamalkan di tanah air.

Artikel Berkaitan:

Anwar juga berkata pelajar yang merupakan lulusan dari Jerman mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan di tanah air kerana syarikat negara itu yang beroperasi di Malaysia biasanya akan mencari mereka. - Bernama