Iran nafi misil punca pesawat Ukraine terhempas

Kotak hitam pesawat Ukraine yang terhempas kelmarin. - Foto AFP
Kotak hitam pesawat Ukraine yang terhempas kelmarin. - Foto AFP
A
A
A

TEHERAN - Ketua Penerbangan Awam Iran hari ini menafikan peluru berpandu punca pesawat Ukraine terhempas dan mengorbankan semua 176 orang, sekali gus menolak dakwaan ia disebabkan kesilapan pertahanan udara Teheran.

Kenyataan yang dikeluarkan dalam satu sidang akhbar itu dibuat selepas Britain dan Kanada didakwa menunjukkan tanda-tanda serangan misil.

"Satu perkara yang pasti, pesawat itu tidak diserang oleh peluru berpandu," kata Ali Abedzadeh.

Semalam, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, beberapa sumber perisikan menunjukkan bahawa peluru berpandu Iran menembak jatuh pesawat terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: PM Kanada tuduh Iran tembak jatuh pesawat Ukraine

Abedzadeh bagaimanapun menolak dakwaan itu dan menegaskan sebarang kenyataan yang dibuat sebelum data di ekstrak daripada perakam kotak hitam pesawat bukan pendapat pakar.

Difahamkan, dakwaan Trudeau dibuat susulan penularan rakaman video yang menunjukkan pesawat berkenaan diserang.

Kelmarin, Boeing 737 terhempas tidak lama selepas Teheran membedil pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq sebagai serangan balas terhadap kematian komander tertinggi Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral Qasem Soleimani yang terbunuh dalam serangan udara AS di Baghdad. - AFP

Artikel Berkaitan: