Kemunculan sulung Proton X90 di Bangladesh, 25 unit didaftar

Foto: www.proton.com
Foto: www.proton.com
A
A
A

PROTON Holdings Bhd telah melancarkan model terulungnya, Proton X90 di Bangladesh, mewakili pasaran eksport keempat untuk model itu dengan penerimaan pembeli yang mantap.

Pengeluar kereta nasional itu melalui satu kenyataan menjelaskan dua varian X90, Flagship enam tempat duduk dan Premium, tujuh tempat duduk, ditawarkan kepada pembeli dengan 25 unit sudah didaftarkan kurang daripada dua minggu selepas pelancaran di Dhaka pada penghujung bulan lepas.

"Bersama-sama dengan Proton X70 yang juga boleh didapati di Bangladesh serta dengan lebih banyak tempahan telah disahkan dan dalam perancangan, Proton yakin bahawa Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama kumpulan itu dapat mencipta niche pasaran sebelum operasi pemasangan tempatan (CKD) bermula akhir tahun ini," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong berkata Rancon Holdings Ltd, pengedar eksklusif untuk Proton di Bangladesh, sudah pun mewujudkan rangkaian jualan dan selepas jualan selain akan melabur dalam barisan pembuatan bagi memasang kenderaan Proton secara tempatan pada masa hadapan.

"Dengan lebih banyak tawaran dalam perancangan termasuk komitmen kami bagi menyokong semua aspek perkongsian, kami menyasarkan untuk menjadi tiga jenama teratas di Bangladesh dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Proton berkata, komponen penting untuk mencapai sasarannya di Bangladesh ialah penubuhan barisan pemasangan memandangkan operasi disasarkan bermula seawal 2024, dengan standard pengeluaran serta outputnya sepadan dengan kualiti kenderaan yang dibina di Tanjong Malim.

"Untuk memastikan produk kualiti dalam pasaran eksport yang mempunyai pemasangan tempatan adalah sama seperti kenderaan yang dibina di Malaysia, Proton bersandar pada pengalamannya dalam menggunakan Volvo Global Quality Standard, yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti produk kami," tambah Li. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: