Agong kurnia X90 kepada KPN, pegawai kanan Istana Negara

Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Proton X90 kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan pegawai-pegawai kanan Istana Negara, bagi mengiktiraf sumbangan serta khidmat cemerlang mereka.

Turut menerima kurniaan berkenaan ialah Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan pegawai agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.

Selain itu, turut menerima kurniaan kereta daripada Seri Paduka Baginda ialah bekas Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dan Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kurniaan daripada Seri Paduka Baginda itu disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim di Istana Negara di sini hari ini.

"Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan keluarga diraja Johor menerusi Yayasan-yayasan Diraja Johor telah mengurniakan pelbagai sumbangan dalam membantu rakyat yang memerlukan.

"Malah, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan 10,000 peket beras percuma seberat 10 kilogram di Johor, tahun lalu dalam membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah.

"Selain daripada kurniaan dan sumbangan menerusi Yayasan-yayasan Keluarga Diraja Johor kepada rakyat jelata, Seri Paduka Baginda juga memberi kurniaan kereta kepada pegawai-pegawai yang berjasa serta dedikasi dalam menjalankan tugas,” menurut hantaran itu.

Menurut hantaran itu, Seri Paduka Baginda sejak dahulu lagi mengurniakan kereta kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri Johor, pegawai daerah, doktor perubatan dan jururawat.

Artikel Berkaitan:

Pada 2010, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan 11 kereta dan lapan motosikal berkuasa besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Proton Suprima kepada semua pegawai daerah di Johor pada 2018.

Dalam menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan, Seri Paduka Baginda juga pernah mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, pada September 2020.

"Seri Paduka Baginda juga pernah mengurniakan Proton X70 kepada tiga doktor sebagai penghargaan di atas khidmat mereka dalam pasukan perubatan Istana Johor pada 2021,” menurut hantaran itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28