Halim semakin yakin bersama Kedah

Halim (tengah) giat menjalani latihan bersama pemain KDA FC pada pramusim 2024-2025 di Alor Setar. Foto KDA FC
Halim (tengah) giat menjalani latihan bersama pemain KDA FC pada pramusim 2024-2025 di Alor Setar. Foto KDA FC
A
A
A

PEMAIN tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Halim Saari mahu melonjakkan kembali permainannya ke tahap lebih baik pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024-2025 yang akan membuka tirai pada Mei ini.

Pemain berusia 29 tahun itu mengakui ruang yang diberikan Sang Kenari menerimanya pada pertengahan musim lau berjaya membina semula keyakinan selepas pulih daripada kecederaan lutut sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, peluang yang diberikan akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan KDA FC juga dalam fasa membentuk kembali pasukan serta meningkatkan persefahaman bersama beberapa pemain baharu.

“Saya jangkakan ada masa cukup untuk saya kembali lonjakkan permainan saya ke tahap yang terbaik. Tempoh satu musim penuh ini penting buat saya bagi memastikan permainan berada pada tahap seratus peratus dan dapat memanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada.

"Saya perlu kekalkan tumpuan bagi memanfaatkan peluang melalui percaturan yang akan dilakukan oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang mahukan kejayaan Kedah ditingkatkan lagi pada musim ini," katanya pada Selasa.

Pemain kelahiran Kulim, Kedah itu percaya pasukan mempunyai masa yang ada cukup untuk membentuk persefahaman bersama pemain baharu seperti Syafiq Ahmad, Rizal Ghazali, Irfan Zakaria, Zamri Pin dan pemain import, Sukhrob Nurulloev dari Uzbekistan.

Menurutnya, beberapa pemain tersebut sebelum ini telah bersama KDA FC dan mereka dijangka mampu membentuk keserasian dengan cepat dengan pemain sedia ada bagi membantu pasukan musim ini.

“Pengalaman yang dimiliki mereka akan menambahkan lagi semangat semua pemain yang ada dalam pasukan pada musim ini dan saya yakin jurulatih bakal melakukan percaturan terbaiknya dalam membentuk pasukan mantap," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28