Sokong MB Selangor: Abdul Rashid sedia berdepan hukuman

Abdul Rashid
Abdul Rashid
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari kekal dengan keputusan menyokong Menteri Besar Selangor dan sedia menerima sebarang hukuman daripada parti yang diwakilinya.

Beliau berkata, keputusan menyokong kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar itu juga tidak menyebabkan keahlian dan kedudukannya sebagai ADUN mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terlucut walaupun pindaan terhadap perlembagaan parti itu diluluskan minggu lepas.

"Saya faham bila keputusan dibuat, kes saya akan dirujuk kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)...itu terpulang kepada mereka untuk buat apa sahaja tindakan, dan bagi saya selepas keputusan dibuat, saya kekal dengan keputusan itu.

"Saya sedia terima sebarang tindakan tetapi setakat ini saya, malah enam lagi ahli Parlimen Bersatu yang beralih sokongan sebelum ini pun belum dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Pada 6 Mac lepas, bekas Pengerusi Bersatu Selangor itu mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Amirudin, yang menurutnya keputusan dibuat antara lain selepas mengambil kira titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Abdul Rashid berkata, kedudukannya selaku ahli Bersatu dan ADUN Selat Klang juga tidak akan terlucut secara automatik dengan pindaan perlembagaan parti baru-baru ini kerana beliau menurutnya sebarang implementasi terhadap pindaan itu hanya akan berkuat kuasa selepas diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Beliau juga menyatakan sokongan kepada kepimpinan Amirudin tidak dibuat secara melulu sebaliknya diputuskan lebih awal sebelum parti mengumumkan kedudukannya sebagai Pengerusi Bersatu Selangor digantikan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Januari lepas.

Mengakui tiada masalah dengan Ketua Pembangkang DUN Selangor itu, Abdul Rashid bagaimanapun mengakui dirinya tidak lagi diperlukan parti apabila setiap keputusan yang dibuatnya tidak diterima Bersatu.

Artikel Berkaitan:

"Ini semua disebabkan ada pihak yang cuba mendapat lebih kuasa di dalam hierarki parti dengan bersekongkol menolak saya keluar dari barisan kepimpinan Selangor,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28