X

Kindly register in order to view this article
!

Pihak kata kerajaan tiada hala tuju tidak terima realiti: Tun M

Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan pihak yang mengatakan kerajaan hari ini tiada hala tuju adalah golongan yang enggan menerima realiti.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara hala tuju utama PH adalah visi Wawasan Kemakmuran Bersama di mana kerajaan mahu berkongsi dan mengagihkan kekayaan negara bersama rakyat.

Menurutnya, walaupun banyak pihak mengkritik visi Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai kabur, namun antara perancangan yang telah dilakukan oleh kerajaan adalah membina pelan industri dan agrikultur yang baru.

“Kami (kerajaan) jelas dengan apa yang kami buat dan akan buat. Perancangan dibuat dalam masa beberapa minggu tetapi pelaksanaannya mengambil masa yang lebih lama sekurang-kurangnya dua tahun atau lebih. Kerja-kerja sudahpun dijalankan sekarang.

“Bagi pemerhati, seolah-olah tiada yang bergerak. Apabila Malaysia berubah dari ekonomi berasaskan pertanian kepada industri dahulu, ia juga memakan masa.

“Kebanyakan dari kita tidak ingat dan golongan muda tidak melihat transisi itu. Ramai di antara kita lahir selepas perubahan tersebut. Sukar untuk membayangkan Malaysia sebagai negara pertanian hari ini,” katanya di laman webnya chedet.cc hari ini.

Katanya, apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan PH memerlukan masa walaupun ada yang tidak sabar melihat perubahan itu.

“Jentera kerajaan sudah ‘dicucikan’ dan mula menerima gaya kerja yang baru. Menteri-menteri Kabinet juga sudah bersikap kerajaan berbanding pembangkang.

“Adakah kita hari ini sama ketika kerajaan terdahulu? Atau bahasa mudahnya mereka lebih menerima kerajaan kleptokratik,” katanya.

Kata Dr Mahathir lagi, rakyat perlu memberi kerajaan sedikit masa dan akan menyedari dalam beberapa tahun bahawa visi Wawasan Kemakmuran Bersama adalah hala tuju yang tepat.

“Kami tidak mencuri wang atau meningkatkan pinjaman untuk merasuah orang ramai. Kami berbelanja dengan wang yang ada. Kami tidak mampu memberikan wang percuma kepada rakyat. Cara kami adalah mencipta pekerjaan baru.

“Ini yang kami sedang usahakan tetapi ianya tidak menarik perhatian orang ramai. Satu hari nanti mereka akan sedar bahawa usaha ini adalah untuk kebaikan ekonomi negara,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!